PrayToMH370 - Tuding jari tidak selesai masalah, kata Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar sikap sesetengah pihak yang suka menuding jari kepada pihak lain berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
Bekas perdana menteri itu berkata, syarikat penerbangan Malaysia itu melakukan sebaik mungkin bagi menghindar segala perkara yang tidak diingini berlaku.
"Saya fikir mereka melakukan yang terbaik. Menuding jari kepada pihak lain tidak akan membantu," katanya kepada pemberita selepas menemui keluarga penumpang MH370 di Putrajaya, hari ini.
Pesawat Boeing 777-200 berlepas dari KLIA ke Beijing pada 12.41 pagi pada Sabtu, tetapi terputus hubungan pada jam 1.20 pagi ketika ia terbang di ruang udara yang dikendalikan menara kawalan di Ho Chi Minh.
Pesawat itu membawa 239 penumpang, menurut senarai penumpang dengan kebanyakannya adalah penumpang dari China, dan 12 anak kapal.
Dr Mahathir berkata, agensi pengurusan lapangan terbang di Malaysia perlu mengambil pengajaran terhadap kejadian dua warga asing menggunakan pasport palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Setiap kejadian memberikan satu pengajaran. Terpulang kepada mereka," katanya yang turut ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengecam pegawai imigresen kerana tidak menyemak dengan teliti dan mengenalpasti identiti dua penumpang yang menggunakan pasport curi sehingga mereka bolos memasuki kapal terbang MH370 yang hilang itu.
Zahid menyelar pegawai Imigresen yang membenarkan dua lelaki "Asian" dengan identiti Eropah memasuki kapal terbang itu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) melawat keluarga penumpang pesawat MH370 di hotel di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 10 Mac, 2014. "Saya masih hairan bagaimana mereka tidak boleh berfikir penumpang Itali dan Austria tetapi mempunyai wajah Asia," katanya sebagaimana dipetik Bernama dan menambah, siasatan dalaman akan dijalankan oleh Jabatan Imigresen mengenainya.
Zahid berkata, siasatan sedang dijalankan oleh satu pasukan khas yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.
Katanya, pada masa ini, tiada kesimpulan boleh dibuat berkaitan dengan isu itu kerana siasatan itu hanya bermula sebaik sahaja pemegang pasport sebenar mendakwa pasport mereka dicuri.
Zahid berkata, ia adalah sukar untuk menentukan kesahihan pasport antarabangsa kerana tidak semua negara menggunakan sistem biometrik dan kod bar seperti di Malaysia. - 10 Mac, 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan