Coklat Cadbury halal – Majlis Fatwa Kebangsaan
PUTRAJAYA - Hukum produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek(DNA) babi adalah seperti hukum asalnya iaitu ‘halal dimakan’, demikian menurut Fatwa Majlis Kebangsaan. Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata ia termasuk dalam kategori keadaan ‘Umum al-Balwa’, iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak. “Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai HALAL tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai ‘Umum al-Balwa’. “Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mengandungi DNA babi atau porsin. DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan coklat susu dengan buah badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015. Abdul Shukor berkata umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah. “Islam bukanlah agama yang terlalu ketat (rigid) dan menyusahkan umatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan atau perbuatan yang di luar pengetahuan dan kawalan,” katanya. Beliau berkata pendekatan hukum yang dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam kedaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan seperti pencemaran DNA babi dalam produk makanan seumpama ini. Bagaimanapun, katanya, pihak berautoriti perlu mengambil tindakan sewajarnya sebagai peringatan terhadap pihak terbabit jika didapati perkara itu dilakukan secara sengaja dan lalai terhadap tanggungjawabnya terhadap pengguna. Beliau turut menasihati umat Islam agar bertenang dan tidak bersikap terlalu emosional dalam memperkatakan isu itu dan mengelak daripada melakukan perkara yang dilarang Islam. “Sewajarnya kita memberi kepercayaan kepada pihak autoriti yang telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas dalam pengesahan halal haram sesuatu produk kerana pelbagai proses telah ditetapkan bagi memenuhi standard halal yang selaras dengan hukum syarak dan telahpun diiktiraf di peringkat dunia,” katanya. Abdul Shukor berkata hasil kajian mendapati pencemaran atau kontaminasi produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari peringkat awal penyediaan bahan mentah lagi, dan jika sesuatu produk itu didapati mengandungi DNA babi semasa proses akhir penghasilannya dan sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategori sebagai halal. Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini melantik pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan kajian saintifik selama setahun berhubung isu pencemaran DNA babi dalam pelbagai produk makanan siap diproses dan disahkan halal supaya hukum yang tepat dapat diputuskan, katanya. Beliau berkata hasil kajian juga mendapati DNA babi boleh menyerap masuk ke dalam produk makanan sama ada ia disengajakan atau tidak, dan kontaminasi DNA babi yang berlaku boleh diukur dan diketahui jika berlaku melalui sentuhan secara fizikal. Kontaminasi juga mungkin berlaku melalui edaran udara apabila daging babi dan bahan lain disimpan di tempat yang sama dan kedua-duanya dalam keadaan tidak bertutup, walaupun tiada persentuhan fizikal berlaku, katanya. “Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang bertutup kemas dan tiada sentuhan secara fizikal,” katanya. Abdul Shukor juga berkata keputusan muzakarah itu tidak bermakna sesuatu produk yang didakwa dicemari DNA bahan haram boleh dibiarkan begitu sahaja. “Adalah lebih baik tindakan menggantung sementara diambil dan siasatan terperinci dilaksanakan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan dan untuk mengetahui bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku, sama ada disengajakan atau sebaliknya,” katanya, lapor Bernama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan