Rakyat Malaysia diperkosa di Jaipur


NEW DELHI: Seorang wanita Malaysia yang berkunjung ke Jaipur, Rajasthan atas urusan perniagaan, didakwa dirogol pada Jumaat oleh seorang lelaki yang ditemuinya di sana.

"Kami telah menahan lelaki itu atas dakwaan merogol seorang wanita Malaysia pada Jumaat. Dia penduduk Bhilwara," menurut Indo-Asian News Service memetik Timbalan Pesuruhjaya Polis (Jaipur Timur), Amandeep Singh sebagai berkata.
Lelaki itu berusia 30 tahun.

Menurut laporan itu, wanita terbabit dalam aduannya berkata dia datang ke Jaipur tiga hari sebelum itu atas urusan perniagaan dan berjumpa lelaki berkenaan.


Kedua-dua mereka makan di sebuah hotel lima bintang pada Khamis malam dan dari situ lelaki itu memandunya ke sebuah tempat yang sunyi dan mendakwa dia dirogol di dalam kereta selepas diberi minuman yang dimasukkan dadah.


Lelaki itu kemudian meninggalkannya di hadapan hotel penginapannya, menurut laporan itu.

Wanita itu berjaya menghubungi sebuah kereta polis di kawasan berhampiran Jawahar Circle di bandar raya ini dan membuat aduan. Lelaki terbabit ditahan dalam tempoh tiga jam.

"Kami menerima aduan itu secara bertulis dan sedang menyoal siasat lelaki terbabit," laporan itu memetik Amandeep sebagai berkata.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telahpun menghubungi mangsa.

"Dia selamat dan pihak berkuasa di Jaipur memberi kerjasama penuh kepada kami berhubung insiden ini," kata seorang pegawai ketika dihubungi hari ini.

Bantahan terhadap keganasan seksual di India semakin memuncak sejak insiden rogol beramai-ramai dan bunuh seorang pelajar di dalam sebuah bas di Delhi pada 2012.

Statistik rasmi menunjukkan kira-kira 25,000 kes rogol dilakukan setiap tahun di India, negara yang dihuni 1.3 bilion penduduk.

Pada awal tahun ini seorang wanita warga Denmark berusia 51 tahun mendakwa dirogol beramai-ramai di Delhi. Dia dirompak dan dirogol oleh suspek bersenjatakan pisau.

Dalam tempoh sama, seorang wanita Jerman berusia 18 tahun juga dilaporkan dirogol oleh seorang lelaki yang berkongsi kompartmen dengannya di dalam kereta api ketika dalam perjalanan dari Mangalore ke Chennai di selatan India.

Kejadian rogol berlaku setiap 22 minit di India, bagaimanapun serangan yang kurang dilapor bermakna kekerapannya mungkin lebih tinggi. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan