Susulan perbuatan itu, Muhamad Draman, 60, dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara lagi jika gagal menjelaskan denda tersebut oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas Muhamad mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada anak saudaranya, Shuhaimi Othman, 36, dengan cara menggunakan sejenis cecair yang mengandungi ‘2-Butoxyethanol’ yang biasanya digunakan sebagai pelarut cat dan sebatang kayu.
Muhamad mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut pada 11 Mac lalu, kira-kira jam 3.30 petang di hadapan rumah di Kampung Bukit Besar, di sini.
Dengan itu, Muhamad mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang berehat di tangga rumahnya di Kampung Bukit Besar, di sini, telah didatangi bapa saudaranya, iaitu Muhamad.
Muhamad telah bertanyakan kepada mangsa tentang penyidai kainnya dan telah menuduh mangsa memotong tali penyidai kain di rumahnya, bagaimanapun, mangsa menafikan tuduhan tersebut.
Tidak puas hati dengan penafian itu, Muhamad terus masuk ke dalam rumah lalu keluar semula bersama sebotol cecair warna kuning cerah di tangan kanan dan kayu panjang di tangan kirinya.
Tanpa bersoal jawab, Muhamad terus menyimbah cecair tersebut ke arah mangsa dan memukul mangsa menggunakan kayu tersebut, namun mangsa cuba mengelak.
Bagaimanapun, pergaduhan anak-beranak itu berjaya dileraikan bapa mangsa yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Susulan kejadian, mangsa menggelupas pada bahagian muka; leher; dada dan perut; luka di mata sebelah kanan dan luka tangan kiri serta ibu jari tangan sebelah kiri.
Muhamad ditahan pada 15 Mac lalu, kira-kira jam 1 pagi di rumahnya di Kampung Bukit Besar, di sini.
--Sinar
.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan