Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Ir Kamaruzzaman Johari berkata, kenyataan Herald pada 27 Disember lalu ibarat mencabar undang-undang negara ini selain mengingkari titah Sultan Selangor, sekali gus mencabar sensitiviti umat Islam.
Beliau berkata, tindakan paderi berkenaan jelas memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab dan memperlekehkan kedudukan undang-undang negara ini sedangkan ia sudah jelas termaktub dalam peruntukan Enakmen Agama Islam Selangor dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Berikutan itu, kami mendesak supaya paderi berkenaan tampil dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini kerana tindakannya itu yang mencabar sensitiviti orang Islam.
“Sekiranya dalam masa seminggu ini beliau tidak membuat permohonan maaf secara terbuka, kami akan membuat laporan polis supaya tindakan lanjut boleh diambil terhadapnya,” katanya.
Menurutnya, kenyataan paderi berkenaan seperti menderhaka kepada titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai penggunaan kalimah Allah di negeri ini selain bertentangan dengan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran kepada Orang Islam) 1988.
--Hmetro
Catat Ulasan