Home » , » Ajal pada ‘tarikh’ nikah

Ajal pada ‘tarikh’ nikah


Sik: “Arwah minta bernikah pada 2 Januari lalu, namun saya terpaksa tunda ke bulan Mac kerana bimbang sekiranya berlaku banjir di kawasan kampung saya di Tumpat, Kelantan,” kata Asrafeiman Ab Rasid, 29, tunang kepada Nor Azmiliawati Azmi, 26, yang meninggal dunia akibat penyakit asma di Hospital Sik, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Allahyarham yang juga graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dikatakan sedang memohon pekerjaan selepas menamatkan pengajian.


Asrafeiman yang juga pensyarah di Institut Kemahiran MARA (IKM) Sik berkata, dia tidak menyangka tarikh pernikahan dipilih arwah tunangnya itu pada 2 Januari lalu tarikh dia dijemput Ilahi.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa sewaktu dia memilih tarikh berkenaan kerana jika boleh memang kami mahu mempercepatkan pernikahan kami.


“Semuanya sudah tertulis, jodoh, ajal dan maut semuanya perancangan Allah dan jodoh kami tidak kesampaian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Menurutnya, tarikh perkahwinan mereka yang dirancang pada awal Mac depan juga terpaksa ditunda semula pada 2 Jun ini kerana dia mendapat tawaran menyambung pelajaran sambil bekerja.

“Tunang saya juga mahu saya memberi tumpuan kepada pelajaran terlebih dulu sebelum kami mendirikan rumah tangga.


“Oleh sebab itu, kami masih tidak membuat sebarang persiapan hanya sekadar membuat tinjauan harga bagi beberapa perkara seperti tempahan dewan dan baju pengantin.

“Arwah dan saya sudah menempah baju pengantin berwarna putih di sebuah butik di Kelantan dan baju berkenaan baju pengantin yang menjadi idamannya selama ini. Itu kali pertama dan terakhir saya melihatnya mengenakan pakaian pengantin berkenaan,” katanya.


Asrafeiman berkata, dia juga sudah menempah tiket percutian untuk membawa keluarga dan tunangnya ke Bali, Indonesia sejurus saja selesai majlis perkahwinan mereka pada Jun depan, namun hasrat berkenaan terpaksa dilupakan.


“Saya mungkin tidak akan meneruskan hasrat saya itu, namun akan berikan tiket berkenaan kepada ibu dan adik tunang saya,” katanya.


Sementara itu, ibu Nor Azmiliawati, Sarimah Hassan, 45, berkata, dia tidak menyangka demam biasa dialami anak sulung daripada tiga beradik itu petanda awal sebelum dia dijemput Ilahi.


“Arwah memang ada penyakit asma sejak kecil, namun penyakit itu sudah lama tidak menyerangnya. “Dua minggu sebelum arwah meninggal dunia, dia mula menunjukkan perasaan kurang berminat berbincang tentang persiapan perkahwinannya, malah lebih banyak diam dan menyendiri,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Kura, Mukim Jeneri, di sini, semalam menurut sumber harian metro hari ini.
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger