Home » , » Dua pencuri kabel dibelasah

Dua pencuri kabel dibelasah

BESUT - Dua pencuri kabel cedera ketika cuba melepaskan diri sebelum berjaya ditangkap orang ramai dalam dua kes berasingan, di Taman Ilmu, Tembila dan di Kampung Beris Pak Abu, Kuala Besut, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kejadian jam 5 petang di Tembila, seorang lelaki berusia lewat 20an berjaya ditangkap penduduk kampung ketika mencuri kabel elektrik di tapak pembinaan Taman Ilmu.

Menurutnya, suspek pertama yang beralamat di Kampung Guntung, Tembila dikesan cuba mencuri kabel oleh pengawal keselamatan yang membuat rondaan di tapak pembinaan itu.

“Suspek cuba melarikan diri apabila menyedari perbuatannya dilihat pengawal namun, berjaya ditangkap orang ramai selepas dibelasah kerana melawan dan diserahkan kepada polis.

“Pihak polis telah hantar suspek untuk mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut akibat kecederaan yang dialaminya,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas sepotong kabel elektrik sepanjang kira-kira empat meter yang dipercayai telah dipotong suspek untuk dicuri.

“Suspek dipercayai mengambil kesempatan mencuri kabel tersebut kerana bekalan elektrik masih belum berfungsi,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Nangka, Kuala Besut cedera ringan setelah dibelasah orang ramai kerana disyaki mencuri kabel di Stesen Pemancar telefon mudah alih Gong Kedak dekat Beris Pak Abu.

Kejadian itu telah dikesan terlebih dahulu oleh juruteknik syarikat telekomunikasi itu sebelum menghubungi penduduk kampung agar menyiasat punca sebenar stesen tersebut tidak berfungsi pada jam 9.50 malam.

Katanya, pada jam 10.10 malam, penduduk kampung berjaya menahan suspek ketika berada di dalam kabin stesen tersebut, dipercayai sedang mencuri kabel di situ sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Suspek cedera di badan kerana dipukul orang ramai ketika usaha memberkasnya dilakukan, manakala kerugian yang dilaporkan dianggarkan RM3,000,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut telah melakukan Operasi Bersepadu Sempena Sambutan Tahun Baru 2014 di daerah ini yang turut membabitkan Pejabat Agama Daerah dan Majlis Daerah Besut (MDB).

Sepanjang operasi bermula jam 11 malam kelmarin dan 3 pagi semalam, seramai 108 orang diperiksa dan 37 motosikal diikuti 39 kereta turut diperiksa.

“Hasil operasi tersebut seramai tiga lelaki ditahan kerana dipercayai mengambil dadah manakala, sepasang lelaki dan wanita bukan muhrim ditahan oleh anggota Penguat kuasa Syariah Pejabat Agama Daerah dipercayai berkhalwat di sebuah chalet dekat Pantai Air Tawar,” katanya.
--Sinar
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger