Home » , » Kes Luka Dibaling Gelas, Johan (Raja Lawak) Menang Saman

Kes Luka Dibaling Gelas, Johan (Raja Lawak) Menang Saman

Pelakon dan pelawak Muhammad Yazid Lim, 30, atau lebih dikenali sebagai Johan (Raja Lawak) berjaya memenangi kes tuntutan saman terhadap pengarah drama, Mohd Javed Mohd Nizar menerusi syarikat Juara Filem Productions Sdn Bhd atas dakwaan mencederakan aktor tersebut di kepala.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Gok Yam di sini pada Selasa bagaimanapun menetapkan 23 Januari depan bagi menentukan jumlah ganti rugi yang harus dibayar oleh pihak defendan selepas plaintif menuntut RM1 juta dalam saman berkenaan sebelum ini.
Dalam pada itu mahkamah turut mengarahkan defendan untuk mengeluarkan kenyataan maaf terhadap plaintif secara terbuka menerusi media cetak dan elektronik.
Bagaimanapun permohonan defendan membuat tuntutan balas terhadap Johan dengan menuntut wang RM2 juta dibatalkan.
Pada perbicaraan kes tersebut berlangsung, Johan hanya diwakili peguam Zahrin Ishak dan pembantu peguam berkenaan, Suhaimi Saad.
Manakala pihak defendan pula diwakili peguam Baljit Singh.
Pada Jun 2010, Johan membuat tuntutan saman terhadap pengarah Mohd Javed menerusi syarikat produksi Juara Filem Productions Sdn Bhd agar membayar RM1 juta sebagai ganti rugi berikutan kes dibaling gelas sehingga menyebabkan kecederaan di dahi pada Mei 2010.
Dia menerima lima jahitan akibat luka pada dahinya itu.
Selain menuntut ganti rugi RM1 juta, Mohd Javed dalam tuntutan berkenaan turut dituntut agar meminta maaf secara terbuka dan menarik balik surat dan e-mel yang diedarkan kepada persatuan-persatuan seni dan media bagi menjelaskan keadaan tersebut.
Johan turut menuntut ganti rugi khusus sampingan dan bertambah iaitu jika dia membuat pembedahan plastik.
Johan bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah berkenaan. – mStar Online

Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger