KOTA BAHARU, 5 Jan (Bernama) -- Jurulatih Wan Ibrahim Wan Mat, hanya perlu
menggunakan empat patah perkataan 'tuh' (itu), sambung, 'gih' (pergi) dan maghi
(mari), untuk menjinak dan melatih beruk liar hingga menjadi 'pakar' pemetik
buah kelapa.
Wan Ibrahim, 60, melatih 15 hingga 20 ekor beruk pada satu-satu masa.
Kebanyakan beruk mampu menyelesaikan latihan kira-kira seminggu, katanya.
Bercakap kepada pemberita di 'Sekolah Latihan Beruk' miliknya di Kampung
Padang Halban, di sini hari ini' Wan Ibrahim, lebih dikenali sebagai Pak Wan,
mendakwa beliau telah melatih kira-kira 10,000 ekor beruk dalam tempoh 20 tahun
lalu.
Kebanyakan binatang itu dibawa dari Pahang, Terengganu dan Perak, selain
dari Kelantan sendiri.
Wan Ibrahim berkata beruk-beruk liar itu mengikuti dua peringkat
pembelajaran iaitu kelas memulas dan kelas memanjat.
"Selepas diserahkan kepada saya, biasanya saya akan mengambil masa dua atau
tiga hari bagi menjinak beruk berkenaan dengan mengusap kepala haiwan berkenaan
dengan air setiap hari.
"Setelah ia agak jinak, barulah beruk tersebut diajar cara memulas dan
memanjat pokok kelapa, sebelum diserahkan kembali kepada pemilik," katanya.
Katanya, tempoh pembelajaran bergantung pada tahap penerimaan beruk tersebut
iaitu antara tiga hingga 14 hari dan mengenakan bayaran sehingga RM200 bagi
setiap ekor.
"Saya tak tetapkan masa melatih bagi setiap ekor beruk tetapi saya akan
mengambil masa kira-kira selama 8 jam dalam sehari untuk mengajar," katanya.
"Beruk-beruk yang mahir ini mampu memetik kira-kira 500 biji sehari yang
dapat memberikan pendapatan sekitar RM100 kepada pemilik yang mengambil upah
untuk kerja tersebut," katanya.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata dalam proses melatih beruk-beruk itu
beliau pernah digigit beberapa kali, tetapi tidak serius.
Kebanyakan beruk yang dilatih berumur antara lima hingga enam tahun yang
masih liar dan agresif.
Wan Ibrahim berkata isterinya, Rogayah Ibrahim, 48, diberi tugas memasak
makanan untuk beruk-beruk itu, iaitu kira-kira satu kilogram beras setiap hari
untuk hidangan sekali pada waktu pagi dan petang.
Ketiga-tiga anak Pak Wan, Nik Mohd Asrul, 20; Nik Mohd Sharul Nizam, 18;
dan Nik Nor Syafiqah, 13; ketika ditanya, menyatakan tidak berminat untuk
melakukan kerja seperti ayah mereka.
-- BERNAMA


Catat Ulasan