Home » , » Penggembala didenda

Penggembala didenda

KOTA BHARU - Seorang penggembala didenda RM3,000 oleh mahkamah majistret di sini, semalam kerana mencederakan sepupunya dengan besi angkara bergaduh perihal kambing.

Keputusan dibuat Majistret, Nik Habri Muhamad selepas tertuduh, Muhamad Nasir Ab Wahab, 44, mengaku salah mendatangkan kecederaan kepada Salmah Abd Rahman, 51.

Kejadian berlaku di kawasan padang Kampung Chepa di sini, pada jam 2.30 petang, 2 Januari lalu. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sebelum itu, mangsa yang sedang memindahkan kambing-kambingnya di kawasan padang itu tiba-tiba didatangi tertuduh yang turut melepaskan kambing-kambing miliknya di kawasan sama.

Mangsa bertindak menghalau kambing-kambing tertuduh menyebabkan tertuduh marah dan berlaku pertengkaran mulut sehingga tertuduh memukul kepala mangsa dengan besi penambat binatang itu.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah namun nafi memukul mangsa dengan besi sebaliknya hanya menggunakan tali.

Namun, ketika Nik Habri menunjukkan gambar kecederaan yang dialami mangsa, tertuduh akhirnya mengaku menggunakan besi tersebut dan memohon mahkamah meringankan hukumannya.

“Dia yang datang ke tempat saya dan marah-marah tuan. Saya tidak tahan apabila dia mula memaki hamun saya dan menyamakan saya dengan kambing,” katanya.

Nik Habri bagaimanapun menasihatkan tertuduh supaya mengambil pengajaran terhadap hukuman yang dikenakan dan tidak lagi mengulangi kesilapan sama lebih-lebih lagi puncanya hanya membabitkan hal yang remeh.

“Kamu sepatutnya tidak perlu melayan orang seperti itu dan beredar dari tempat kejadian. Dia hanya menggunakan mulut tetapi kamu menggunakan besi itu hingga mendatangkan masalah kepada diri sendiri,” katanya.
--Sinar
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger