Home » » Pengawal ditetak, juruwang cedera disembur kari

Pengawal ditetak, juruwang cedera disembur kari


JOHOR BHARU - Seorang pengawal keselamatan cedera ditetak manakala seorang juruwang kepedihan mata akibat disembur serbuk kari selepas mereka disamun empat lelaki di kawasan parkir di Terminal Larkin Sentral hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira 4.40 petang ketika mangsa menuju ke premis perniagaan mereka di terminal berkenaan selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank.
 
"Mereka didatangi empat lelaki bertopeng yang menaiki sebuah kereta yang kemudian menyembur serbuk kari dan menetak pinggang kanan pengawal keselamatan itu dengan parang," katanya ketika dihubungi.
 
Beliau berkata, suspek kemudian melarikan dua beg berisi wang tunai hampir RM300,000 dengan kereta berwarna gelap.
 
Sulaiman berkata, anggota polis yang digerak untuk mengesan kesemua penjenayah berjaya menahan dua daripada mereka berumur lingkungan 20an dan 30an pada kira-kira 8.30 malam dan usaha giat dijalankan bagi mencari bakinya.
 
Beliau berkata, pengawal keselamatan berumur 34 tahun, dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan dilaporkan stabil manakala juruwang berusia 22 tahun tidak mengalami kecederaan serius.
 
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.  - Bernama
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger