IPOH - “Ketika kejadian saya sedang nyenyak tidur, namun rasa sejuk di leher menyebabkan saya terbangun dari tidur. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat seorang lelaki mengacukan parang di leher,” kata seorang peniaga yang menjadi mangsa rompakan di Taman Kemuncak, awal pagi semalam.
Lelaki dikenali sebagai Lim, 48, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, dia tidur bersendirian manakala isteri dan anaknya tidur di bilik berasingan.
Menurutnya, keadaan biliknya yang tidak berkunci menyebabkan penjenayah yang lengkap bertopeng muka masuk ke dalam bilik serta mengugut menyerahkan wang.
“Mereka menutup mata dan mengikat tangan saya sebelum bertindak melarikan beberapa barangan berharga milik kami sekeluarga termasuk dua buah kereta jenis BMW 330I dan Naza Sutera.
“Saya tidak pasti berapa jumlah sebenar kumpulan penjenayah terbabit tapi saya rasa antara tiga ke empat orang terlibat melakukan rompakan.
“Bagaimanapun, saya bersyukur anak dan isteri selamat kerana pintu bilik tidur mereka berkunci ketika insiden itu berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Difahamkan, kejadian rompakan itu adalah yang ketiga dan sebelum ini berlaku kira-kira lima tahun lalu.
Lim berkata, kejadian pertama lima tahun lalu berlaku, ketika pembantu rumahnya sedang mencuci kereta sebelum didatangi sekumpulan lelaki.
“Beberapa tahun sebelumnya, rumah kami pernah dipecah masuk namun ketika kejadian tiada orang di rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, dalam kejadian 4 pagi itu, semasa mangsa tidur di rumah dia telah dikejutkan oleh tiga lelaki bertopeng muka dan bersenjatakan parang.
“Antara barang yang disamun termasuklah telefon bimbit, kunci rumah dan kereta, barang kemas, jam tangan, dua iPad, geran kereta, buku cek Maybank, MyKad, lesen memandu, kad ATM dan wang tunai sebanyak RM1,500. Kerugian dianggarkan bernilai RM333,500,” katanya.
Chang Keong berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
--Sinar


Catat Ulasan