Home » » MH370 Cuaca dan jarak menjadi cabaran utama operasi

MH370 Cuaca dan jarak menjadi cabaran utama operasi


KUALA LUMPUR - Cuaca dan jarak menjadi cabaran utama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MAS MH370 di selatan Lautan Hindi.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pergerakan aset ke lokasi pencarian bergantung kepada dua faktor tersebut.

"Paling penting ialah cuaca kerana pesawat hanya dapat bergerak ke sana jika cuaca baik. Cabaran kedua ialah jarak ke lokasi pencarian iaitu 2,500 kilometer atau 1,350 batu nautika dari barat daya Perth, Australia.

"Pesawat P3 Orion mengambil masa tiga jam ke sana dan hanya dapat melakukan pencarian selama dua jam sebelum berpatah balik. Jadi, ini merupakan cabaran utama yang perlu dihadapi pasukan SAR untuk mencari objek berkaitan," katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Turut hadir, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, lokasi yang jauh juga antara faktor banyak negara lain tidak dapat terlibat dalam operasi SAR di situ.

"Setakat ini, negara yang tarik diri bukan kerana tidak mahu teruskan operasi. Tetapi kerana tidak banyak aset yang boleh membantu mencari serpihan di koridor selatan.

"Namun, kita tetap menghargai bantuan yang diberikan oleh seluruh dunia. Kita juga perlu memberikan sokongan kepada pasukan SAR agar mereka tidak berputus asa," katanya.

Operasi SAR di selatan Lautan Hindi melibatkan Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Jepun, Korea dan India.
--SINAR
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger