Kuala Lumpur : Kapal China Haixun 01 dan HMAS Success sudah mengutip beberapa objek di Lautan Hindi namun tiada objek yang mempunyai kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya berkata, operasi mencari pesawat MH370 yang membabitkan kawasan seluas 252,000 kilometer persegi untuk Sabtu sudah tamat.
Beberapa pesawat yang terbabit dalam operasi itu, Ilyushin IL-76 milik China mengesan tiga objek di kawasan itu manakala P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) turut melaporkan mengesan beberapa objek terapung di bahagian lain dalam kawasan pencarian.
Bagaimanapun, semua objek itu tidak dapat disahkan milik MH370 sehingga dikutip atau dijumpai kapal.
Dalam operasi pada hari Sabtu, lapan pesawat terbabit dalam usaha pencarian termasuk tiga pesawat P3 Orion milik RAAF, pesawat P3 Orion dan pesawat pengawal pantai milik Jepun, P3 Orion Tentera Udara Diraja New Zealand (RNZAF), Ilyushin IL-76 dan sebuah pesawat awam.
Kapal yang terbabit adalah HMAS Success, kapal China Haixun 01 dan Nan Hai Jiu dan kapal tentera China Jinggang Shan yang tiba di kawasan berkenaan hari ini manakala lima lagi kapal akan tiba di lokasi itu esok.
HMAS Toowomba pula berlepas dari Perth malam tadi dan dijangka sampai di lokasi selepas tiga hari.
Operasi pencarian akan diteruskan pag ini
Catat Ulasan