Home » » Harta karun milik Kesultanan Islam

Harta karun milik Kesultanan Islam


PULAU NANGKA - Harta karun bernilai berbilion ringgit yang dipercayai tersimpan sejak lebih lima abad lalu di Pulau Nangka, hanya boleh digunakan untuk kebajikan.

Itulah yang diberitahu kepada media oleh syarikat yang dipertanggungjawab melakukan kajian serta mencari bukti bergambar mengenai kewujudan harta karun tersebut.

Pengarah Urusan syarikat terbabit, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said mendakwa, harta tersebut hanya boleh dikeluarkan dengan berbai’ah dan tidak boleh digunakan sesuka hati.

“Saya hendak tekankan perkara ini tidak boleh dibuat main-main dan menerusi pengkajian kami secara teknologi dan spiritual, harta Kesultanan Islam Melayu Melaka memang tidak keluar dari bumi dan perairan Melaka termasuk isi kapal Flor De La Mar,” katanya.

Semalam, wartawan Sinar Harian, antara yang diberi peluang untuk sekali lagi menjejakkan kaki di pulau yang dikatakan pernah berperanan sebagai markas para Wali Allah.

Rombongan tersebut turut disertai Timbalan Exco Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi Pelaburan dan Perindustrian, Hal Ehwal Agama, Warisan, Pembangunan Belia dan Pelancongan, Datuk Norpipah Abdol; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas serta Ketua Jabatan Warisan Negara, Zon Selatan, Johar Kadis.

Tidak seperti kunjungan pertama, kali ini kami diberi peluang menyaksikan sendiri kerja-kerja menebuk lubang pintu di samping menyaksikan kesan peninggalan sejarah yang terdapat di Pulau Nangka.

Menurut Mohammad Foad Khushairy, kehadiran syarikatnya di Pulau Nangka bermula pada Julai 2012 dan kerja-kerja tersebut akan berakhir pada 30 April ini.

Setakat ini, pihaknya begitu yakin akan menemui bukti sebagaimana yang diharapkan mengenai kewujudan harta karun tersebut.

Katanya, kerja-kerja penebukan pintu dinding batu sedang giat dijalankan dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 27 April ini.

"Berdasarkan laporan geoteknikal dengan alat pengimbas bumi, kami yakin memang terdapat harta karun dan barangan artifak di sini. Lantaran itu, kami terpaksa membuat pintu baharu untuk tembus ke bawah.

“Bila kita dapat masuk ke ruang bawah, maka kita akan dapat masuk kesemua bilik yang terdapat di sini,” katanya.

Beliau berkata, menerusi imbasan yang dijalankan terdapat 20 bilik di dalam pulau seluas 20 hektar itu yang pernah dibina di zaman kemuncak Islam Kesultanan Melayu Melaka.

“Kami terpaksa menambah tenaga kerja. Kalau sebelum ini hanya 23 orang tetapi menjelang Isnin ini meningkat kepada 40. Kebanyakan mereka memang pakar dalam melakukan kerja menebuk bongkah batu.

“Kesemua dinding batu terbabit mempunyai ketebalan antara 3.5 hingga lima meter serta mempunyai kedalaman lapan meter dari puncak bukit. Tempat yang kita tebuk semua kita sudah imbas bagi mengenal pasti lorong-lorong yang boleh dimasuki.

“Ada pintu, sudah hampir 50 peratus siap manakala pintu kedua hanya 30 peratus sahaja untuk kita masuk ke dalam. Proses dan kaedah yang dilakukan terpaksa mengambil masa sehingga hampir dua tahun kerana perlu dijalankan pelbagai peringkat dan prosedur,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pun sudah banyak pihak yang berjaya masuk dan menembusi pintu berkenaan tetapi tidak boleh membawa harta itu keluar.
--sinar harian
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger