Home » » Kotak hitam penting untuk rungkai misteri

Kotak hitam penting untuk rungkai misteri


PESAWAT MH370  yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing  yang dikatakan berakhir di Lautan Hindi masih belum diketahui nasibnya.

Dengan jangka hayat bateri kotak hitam yang habis selepas 30 hari, pihak penyiasat masih gigih menjalankan operasi mencari dan menyelamat untuk merungkai misteri kehilangan ini.

Operasi pencarian oleh pelbagai negara telah mengenal pasti kawasan seluas 254,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, iaitu kira-kira 1,850km dari barat Perth di Australia, sebagai kemungkinan lokasi pesawat itu berakhir.
Namun, ia dilihat amat sukar memandangkan kawasan Lautan Hindi yang disifatkan amat luas.

Terdapat dua unit kotak hitam yang diletakkan pada bahagian depan pesawat dan bahagian ekor pesawat yang diyakini mudah dijumpai jika berlaku tragedi.

Kotak hitam  akan sentiasa terpasang merakam setiap bunyi walaupun tanpa juruterbang mengaktifkannya.

Maklumat yang terakam dalam kotak hitam itu bakal memberikan jawapan kepada segala persoalan yang timbul membabitkan nahas MH370 seperti mana tragedi pesawat yang lain.

Berikut merupakan antara tragedi misteri pesawat berjaya dirungkai dengan bantuan maklumat kotak hitam yang berjaya ditemui.

25 Mei 2002 : Pesawat China Airlines (CAL) Boeing 747-200

Pesawat penerbangan Taiwan, China Airlines (CAL) yang membawa 225 orang penumpang termasuk tiga kanak-kanak dan 19 anak kapal, pecah kepada empat bahagian dan terhempas ke laut kira-kira 20 minit setelah berlepas dari lapangan terbang Taipei ke Hong Kong.

Pada awalnya, terdapat spekulasi bahawa sebuah peluru berpandu tersilap sasaran menyebabkan pesawat penumpang itu terhempas tetapi tentera berkata, ia tidak mungkin berlaku.

Para penyiasat mendapati tidak ada kesan-kesan kebakaran atau letupan dijumpai daripada mayat-mayat mangsa pesawat penumpang China Airlines yang terhempas.

Hasil kajian kotak hitam, memperlihatkan pesawat penumpang itu tidak mengalami kesilapan operasi penerbangan.

Pada tahun 1980, pesawat ini pernah mengalami kecelakaan kecil ketika melakukan pendaratan mengakibatkan bahagian ekor pesawat mengalami kerosakan.

China Airlines tidak membaikinya menurut Petunjuk Pembaikan Struktur (SRM) dari syarikat Boeing.

Hasil kajian ini juga mendapati kerosakan yang tidak dibaiki secara betul ini telah melemahkan kekuatan struktur badan pesawat.

Kegagalan ini menyebabkan badan pesawat retak sepanjang 180 cm dan menghancurkan struktur pesawat di udara sehingga pesawat jatuh dari ketinggian 35000 kaki ke permukaan laut.

1 Januari 2007- Pesawat Adam Air KI574 jenis Boeing 737-400.

Pada 1 Januari 2007, pesawat yang membawa 102 penumpang dari Bandung ke Manado itu tiba-tiba hilang dari radar tanpa membuat sebarang panggilan kecemasan, dipercayai telah terhempas di Selat Majene, Sulawesi.

Kira-kira sebulan selepas itu, operasi mencari dan menyelamat dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk serpihan bangkai pesawat dan tragedi itu kemudiannya telah dilupakan oleh rakyat republik itu.

Bagaimanapun, tujuh bulan selepas itu, dua kotak hitam pesawat yang merakamkan data penerbangan dan perbualan juruterbang dalam kokpit berjaya ditemui.

Setelah sembilan bulan analisis dibuat oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Indonesia (KNKT) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS), ia merumuskan juruterbang telah mematikan alat pemanduan automatik bagi membaiki Sistem Rujukan Inersia (IRS).

1 Jun 2009 : Penerbangan Air France 447

Pesawat Air France AF447 jenis Airbus A330-203 yang dalam penerbangan dari Rio de Janeiro, Brazil ke Paris, Perancis terhempas di Lautan Atlantik iaitu selepas tiga jam 45 minit berlepas menyebabkan 228 orang di dalamnya terbunuh.

Selepas 25 hari operasi mencari, pasukan tentera Brazil mengumumkan telah menamatkan operasi SAR dengan jumlah yang ditemui kekal 50 mayat dan 640 serpihan pesawat.

Misi berkenaan ditamatkan setelah semua aset yang digunakan termasuk kapal terbang, kapal tentera laut, kapal selam, kapal hidrografi dengan peralatan kenderaan kawalan jauh dalam air (ROV), pesawat Sistem Amaran Awal dan Pemerintah (AWACS) gagal menemui serpihan baharu dan kotak hitam.

Selepas tempoh 30 hari, kotak hitam tidak lagi mengeluarkan isyarat bagi mudahkan pasukan pencari.

Kegagalan menemuinya kerana ia dipercayai tenggelam ke dalam rabung yang sangat dalam dengan anggaran kira-kira 4,700 meter.

Setelah dua tahun berlalu, Sebuah kapal cari gali minyak, Alucia dan tiga kenderaan tanpa pemandu (AUV) telah digunakan dalam pencarian pada 25 Mac 2011.

Kotak hitam dan lain-lain serpihan pesawat yang terdampar di dasar lautan akhirnya ditemui setelah lima hari pencarian.

Antara serpihan ditemui pada kedalaman antara 3,800 hingga 4,000 meter adalah badan pesawat, enjin, sayap, gear pendaratan dan kotak hitam.

Hasil penemuan kotak hitam itu membolehkan Biro Penyiasatan dan Analisis Perancis (BEA) mengeluarkan laporan siasatan lengkap bertarikh Julai 2012.

Laporan berkenaan menyebut kristal ais menyekat peralatan mengukur kelajuan sehingga menyebabkan sistem pemanduan automatik tidak berfungsi.

Kegagalan juruterbang bertindak dengan pantas dan betul untuk mengambil alih pemanduan pesawat secara manual menyebabkan pesawat terhempas di laut dengan kelajuan 280 km sejam dan berkecai.

12 November 2012 - Pesawat American Airlines 587

Sebuah pesawat penumpang American Airlines dengan 255 orang di dalamnya terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang John F. Kennedy ke Santo Domingo di Republik Dominica.

Ketika pesawat sedang mendaki ke altitud lebih tinggi, secara tiba-tiba pesawat berkenaan melanggar pusaran angin yang kuat.

Impaknya menggegarkan pesawat dan juruterbang cuba mengawal pesawat namun gagal, selang beberapa saat berlaku gegaran lebih kuat.

Juruterbang kehilangan kawalan dan pesawat menjunam dengan pantas ke satu kawasan perumahan di Queens, New York.

Hasil kajian kotak hitam mendapati juruterbang menggerakkan sayap belakang pesawat secara mengejut dan maksimum berulang kali ke kiri dan kanan.  Ia menunjukkan seolah-olah menghadapi kesukaran mengawalnya sebelum ia tercabut.

Secara ringkasnya, penggerakan sayap belakang pesawat tersebut secara maksimum dan mengejut menghasilkan tekanan pada pesawat.

Tindakkan agresif tersebut sebenarnya diajar dalam latihan simulator oleh syarikat penerbangan dan dipraktikkan oleh semua juruterbang American Airlines.

Mereka akhirnya mengesahkan ia berpunca dari latihan serta situasi simulator yang tidak realistik.

Berdasarkan tragedi sebelumnya ini, jelas peranan besar kotak hitam yang harus ditemui walau dalam apa jua keadaan sekalipun bagi merungkai misteri kehilangan MH370.

Walaupun selepas jangka hayat bateri itu tamat, terdapat alternatif lain boleh digunakan dalam usaha menjejak kotak hitam tersebut.
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger