Home » » Lebih banyak persoalan dalam pencarian MH370 ekoran penemuan isyarat, lapor media

Lebih banyak persoalan dalam pencarian MH370 ekoran penemuan isyarat, lapor media


Keghairahan dan harapan baru wujud berikutan penemuan dua isyarat baru di Lautan Hindi hujung minggu ini dan semalam namun penyiasat misteri kehilangan MH370 berhati-hati dengannya kerana isyarat itu juga boleh melahirkan lebih banyak persoalan.
Pensyarah sains lautan dan bumi Universiti Southampton, Simon Boxall berkata, pengesahan isyarat itu datang daripada penentu kedudukan Boeng 777-200ER bermakna "kemungkinan penemuan pesawat itu – atau sekurang-kurangnya kotak hitam – adalah daripada satu per sejuta hingga hampir pasti," lapor CNN.
Bagaimanapun, Angus Houston, ketua pasukan penyelamat memberi amaran tentang kesimpulan yang terlalu cepat.
"Ia memerlukan beberapa hari sebelum maklumat itu boleh disahkan ia daripada MH370," katanya.
"Dalam lautan yang sangat dalam, tidak ada apa yang boleh berlaku dengan cepat," lapor CNN berdasarkan kenyataan Ketua Marshal Udara bersara Australia yang mengetuai pusat koordinasi agensi bersama itu.
Sebuah kapal Australia yang menggunakan peralatan berteknologi tinggi dari Amerika mengesan isyarat di kawasan  laluan pesawat MH370 di luar pantai barat negara itu.
Houston memberitahu pemberita alat yang dikenali sebagai pengesan pinger yang ditarik kapal Ocean Shield mengesan isyarat sama dengan apa yang dipancarkan data pesawat dan perakam suara kokpit.
Pengesanan pertama, yang berlaku pada hujung minggu, berlangsung lebih dua jam sebelum kapal terputus hubungan, kata Houston. Pengesanan kedua, berlaku beberapa jam kemudian selama 13 minit, dan termasuk dua isyarat berasingan didengar alat pengesan, katanya.
Semalam, kapal Tentera Laut Australia, Ocean Shield sekali lagi mengesan dua lagi isyarat di selatan Lautan Hindi.
"Ia mungkin maklumat terbaik yang kita perolehi," CNN memetik Houston, yang berkata, "Kami tidak menemui pesawat lagi; Kami perlu pengesahan lanjut."
Penyiasat berharap isyarat itu adalah daripada kotak hitam dan perakam data pesawat yang hilang kerana ia hampir menyamai standard frekuensi 37.5 kHz yang digunakan oleh perakam, frekuensi yang dipilih bagi mengelakkan ia dikelirukan dengan bunyi laut lain.
Mereka mengesan isyarat berkenaan  di sepanjang anggaran laluan penerbangan pesawat yang hilang, yang dikira berdasarkan kepada kapasiti laluan dan bahan api dan yang membantu mengecilkan kawasan carian, kata laporan CNN.
"Dengan isyarat akustik yang kami terima di kawasan itu, ia menambah keyakinan bahawa kami berada sangat dekat dengan kawasan yang sepatutnya," kata Houston.
"Ini adalah suatu keadaan yang agak luar biasa kerana berada di kawasan carian yang tepat dan berharap akhirnya akan memberi maklumat yang kita perlu untuk mengatakan MH370 mungkin tenggelam di sini."
Pada hari Sabtu, sebuah kapal China juga melaporkan mengesan isyarat lebih 300 batu jauh ke selatan, juga berhampiran laluan pesawat yang dijangkakan.
Houston bagaimanapun, memberi amaran adalah penting untuk mempunyai pengesahan visual sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat.
"Saya percaya kami sedang mencari di kawasan yang betul tetapi kita perlu mengenal pasti visual bangkai sebelum boleh mengesahkan dengan pasti ini adalah lokasi terakhir MH370 bersemadi," beliau berkata pada sidang akhbar semalam.
Buat masa ini, isyarat detik adalah petunjuk yang paling menyakinkan, kata Houston.
"Mudah-mudahan dengan lebih banyak transmisi, kami akan mempunyai kawasan yang lebih tepat dan kecil dan diharapkan dalam masa beberapa hari kami akan dapat mencari sesuatu di dasar laut yang mungkin mengesahkan ini adalah lokasi terakhir MH370," tambah beliau.
Houston berkata semalam, analisis pakar terhadap isyarat dikesan sebelum ini bukanlah yang asli, meningkatkan harapan penemuan carian.
Laporan CNN berkata, oseanografi menyedari lautan penuh dengan bunyi yang mungkin termasuk panggilan paus dan isyarat yang dipancarkan oleh peralatan peralatan penyelidikan yang ditinggalkan di dasar laut. Walaupun frekuensi yang digunakan isyarat kotak hitam unik, ia masih boleh dikelirukan dengan bunyi laut lain.
"Tidak seperti di udara, bunyi bergerak dalam garis lurus, tenaga akustik – bunyi di dalam air – amat dipengaruhi oleh suhu, tekanan dan kemasinan," CNN memetik Peter Leavy, komander pasukan petugas tentera yang menjalankan carian.
"Dan ia mempunyai kesan melemah, membengkok – kadangkala sehingga 90 darjah – bunyi gelombang. Jadi ada kemungkinan dan sangat sukar untuk meramal – ia agak mustahil untuk dijangka – adalah mustahil bagi sesuatu bunyi didengar pada jarak yang jauh tetapi amat sukar untuk mendengar berhampiran permukaan lautan, misalnya."
Penyiasat terus mencari bukti bahawa isyarat itu daripada pesawat yang hilang dan jika ini disahkan, pencari akan menghantar satu Bluefin-21, kenderaan autonomi dalam air dengan sonar yang lebih tepat dan mungkin kamera untuk pemetaan dasar laut, kata Leavy. – 10 April, 2014.
--The Malaysian Insider
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger