Home » » Masih ada harapan temui MH370

Masih ada harapan temui MH370


SHAH ALAM - Teori dan spekulasi tentang misteri kehilangan pesawat MH370 tidak boleh disangkal kerana pesawat terbabit masih belum lagi ditemui sehingga kini.

Ini termasuklah teori pesawat itu disembunyikan   kuasa besar dunia  yang mempunyai kepentingan  terhadap kargo yang dibawa ataupun  penumpang 'penting' yang  dikatakan menjadi rebutan kumpulan tertentu yang kini menjadi antara berita  yang tersebar di dunia maya.

Bagi sesetengah pihak, teori ini masih  boleh diguna pakai kerana setakat ini masih  tiada sebarang petunjuk dan bukti positif berhubung penemuan  pesawat itu hingga ke hari ini.

Malah ada yang mengaitkan MH370 pernah mendarat di Pengkalan Tentera AS di Diego Garcia dengan kawalan tentera AS sebaik sahaja ianya  hilang dari radar.

Pegawai Dasar dan Perancangan Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim ), Kepten Norhaizad Ismail berkata, kecanggihan teknologi yang dimiliki negara-negara maju dalam operasi mencari pesawat berkenaan mampu membawa petanda positif kepada penemuan pesawat itu.

“Jika berlaku kebakaran dan letupan, kemungkinan besar serpihan pesawat akan dijumpai.

“Seandainya pesawat berada di dasar lautan itu, pasti kita akan menemuinya walaupun mengalami kesukaran dari segi cuaca dan kedalaman Lautan Hindi,” katanya ketika mengadakan lawatan  ke Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Samsuni Mohd Nor.

Norhaizad berkata,  negara barat menganggap kehilangan pesawat itu merupakan peristiwa yang misteri kerana hanya mengetahui lokasi terakhir dikesan oleh satelit Inmarsat di selatan Lautan Hindi.

“Sebelum ini Persatuan Penerbangan Udara Antarabangsa (IATA) turut mengakui kerumitan yang berlaku dalam hal ini dan akan mengkaji apa juga sistem di dunia ini untuk mengesan kapal terbang itu,"  katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Maritim, Kepten Maritim Ang Cheng Hwa berkata, seandainya benar teori rampasan pesawat MH370 berlaku dan disorokkan di sebuah lokasi, pasti satelit mampu mengesannya.

Menurutnya apa yang berlaku ketika ini begitu pelik, seolah-olah ada pihak tertentu yang mendalangi kehilangan pesawat itu.

“Pengalaman kami di Laut Cina Selatan dan teknologi yang dimiliki seperti ROV mampu membantu kami mencari objek di bawah dasar laut sekiranya ia benar-benar terhempas,” katanya.

Ditanya mengenai bateri litium yang dibawa dalam kargo MH370, beliau menyifatkan bateri tersebut merupakan barang yang mudah terbakar sekiranya berlaku kerosakan.

“Seperti sedia maklum bateri litium berbeza dari bateri lain dan ia disimpan secara bertekanan tetapi mempunyai cara memadamkan bahan kimia dalam bateri itu.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan seandainya berlaku kebakaran pasti juruterbang berjaya mengesannya di peringkat awal,” katanya.
---Sinar
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger