Home » » Saya mahu tahu apa berlaku kepada MH370 – Hishammuddin

Saya mahu tahu apa berlaku kepada MH370 – Hishammuddin


Walaupun sudah lebih sebulan pesawat MH370 hilang pada 8 Mac lalu, namun Malaysia tidak mengaku kalah untuk terus mencarinya di samping mengendalikan isu perundangan mengenai jet dan penumpang yang hilang itu, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dalam wawancara dengan media Singapore Straits Times (ST), menteri itu berkata beliau tidak kisah siapa yang akan menganalisis kotak hitam itu jika dijumpai, Malaysia atau Australia.
“Secara peribadi, saya hanya mahu tahu kebenarannya. Saya mahu tahu apa berlaku kepada MH370. Tidak kisah bagaimana atau siapa atau di mana, tetapi akhirnya ia ini tidak mudah kerana banyak negara terlibat,” kata Hishammuddin.
Katanya, Peguam Negara sedang mengkaji isu berkaitan dengan tuntutan daripada keluarga penumpang pesawat itu, autopsi dan isu undang-undang mengenai kotak hitam.
Walaupun kos yang terlibat untuk pencarian MH370 melibatkan ratusan juta dollar Amerika, menjadikannya paling mahal dalam sejarah pencarian industri penerbangan yang melibatkan tenaga manusia dan kelengkapan dari 26 negara, wang bukan pengkiraan utama Hishamuddin.
“Kos bukan menjadi penghalang setakat ini,” kata Hishammuddin seperti yang dilaporkan ST.
Beliau juga menggariskan kesukaran yang bakal dihadapi dalam misi pencarian, dengan menambah Malaysia akan menghantar lebih banyak kelengkapan pencarian selepas Australia dan China gagal menjejak isyarat baru selepas hujung minggu lalu.
“Apabila kotak hitam dapat ditemui, kita perlu pergi lebih mendalam lagi. Kita bukan bercakap soal kapal terbang lagi, kita bukan bercakap soal kapal laut lagi. Kita bercakap tentang serpihan yang tenggelam,” katanya dalam wawancara dengan media Singapura itu semalam.
Sementara itu, deretan kapal dan kapal terbang terus mencari isyarat yang hilang dan serpihan pesawat yang hilang itu, menjelajah ribuan kilometer persegi Lautan Hindi, lapor AFP.
Pencari sedang berusaha mengesan semula isyarat ping daripada dasar laut dan cuba beberapa hari lagi untuk mencari kawasan terhempas sebelum kapal selam mini dihantar untuk mencari.
Sehingga kini, 11 buah kapal terbang tentera, empat kapal terbang awam dan 14 kapal laut digunakan untuk membantu pencarian di kawasan seluas 75,423 kilometer persegi, kata Pusat Koordinasi Gabungan Agensi Australia (JACC).
Ocean Shield, yang sebelum ini mengesan dua isyarat, satu bertahan sehingga dua jam 20 minit dan satu lagi 13 minit, kini beroperasi di utara kawasan pencarian, kata JACC, memetik dari The Malaysian Insider.
Kapal China, Haixun 01, yang mengesan kemungkinan isyarat ‘ping’ dan HMS Echo dari British pula bekerja di hujung selatan.
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger