Home » » Bapa parah di serang anak dengan cangkul di Kampung Gerai,

Bapa parah di serang anak dengan cangkul di Kampung Gerai,


KOTA BHARU - Bapa yang parah selepas diserang dengan cangkul dalam kejadian di Kampung Gerai, Jertih, Ahad lalu, sudah memaafkan perbuatan anaknya itu.

Malah, tukang rumah berusia 46 tahun itu mahu suspek pulang ke rumah dan menjalani kehidupan bersama keluarga seperti sebelumnya.

“Kucing pun sayangkan anak, inikan pula kita manusia.” Itu ungkapan pertamanya ketika ditemui pemberita di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, semalam.

Terdahulu, dalam kejadian jam 4 petang itu, Mustafa Md Yasin, 46, cedera parah di kepala akibat dipukul dengan hulu cangkul oleh anak sulungnya berusia 24 tahun di hadapan rumah mereka.

Mustafa berkata, sebelum insiden itu, dia menegur suspek berkaitan enjin motosikal yang dikatakan dijual anaknya itu bagi mendapatkan wang, namun dibalas dengan makian menyebabkan mereka bertikam lidah.

“Dia (suspek) kemudian keluar dari rumah dan mencapai cangkul. Saya mengekori dan menerpa ke arahnya  menyebabkan dia menghayun cangkul tersebut. Walaupun cuba mengelak, tetapi hulunya kena kepala saya menyebabkan berlumuran darah. Saya rebah dan tidak sedarkan diri.

“Saya tidak sangka dia bertindak sedemikian tetapi saya sudah maafkan dia, cuma saya kesal dan terkilan apabila ada orang lain yang bukan kalangan keluarga kami bertindak memukul dia selepas  kejadian tersebut,” katanya.

Menurutnya, dia dibantu oleh orang kampung yang menyedari kejadian itu dan dibawa ke Hospital Jertih sebelum dirujuk ke HUSM pada hari sama.

Sementara itu, isteri mangsa, Siti Khatijah Mohamad, 42, berkata, ketika kejadian dia berada di surau menghadiri kelas mengaji al-Quran dan hanya mengetahui kejadian ketika tiba di rumah selepas Asar.

“Saya hanya nampak kesan darah di hadapan rumah dan diberitahu oleh anak yang yang lain mengenai  kejadian tersebut. Alhamdulillah, keadaan suami sudah semakin baik berbanding ketika mula-mula dibawa ke hospital.

“Sebelum ini, dia (suspek) dan bapanya sering berbalah tetapi hanya perang mulut. Kejadian ini paling buruk, pun begitu dia anak yang baik dan sentiasa membantu kami sekeluarga,” katanya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria sebelum ini berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis metamphetamine.

Suspek direman mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger