Home » » Jangan Pesong Fakta Cukai Barangan & Perkhidmatan – Najib

Jangan Pesong Fakta Cukai Barangan & Perkhidmatan – Najib


KUALA LUMPUR, 12 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memesongkan fakta mengenai cukai barang dan perkhidmatan (CBP) walhal pada hakikatnya cukai baru itu akan meningkatkan pendapatan negara dan tidak membebankan rakyat.

Najib berkata rakyat tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan sistem cukai baru itu kerana kebanyakan barangan keperluan dan perkhidmatan asas harian tidak akan dikenakan CBP.

“Sebagai contoh, barangan seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak, ikan masin, tambang bas, keretapi, LRT, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan tidak dikenakan cukai itu,” katanya dalam ucapan bersempena majlis pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hari ini.

Cukai tersebut, bakal dilaksanakan pada kadar enam peratus pada 1 April 2015, akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan dan bertujuan untuk memperteguhkan ketahanan ekonomi negara bagi jangka masa panjang.

Beliau berkata cukai tersebut merupakan satu sistem pencukaian yang lebih sistematik dan berasaskan jumlah pembelian barangan seharian.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, memberi jaminan bahawa beliau akan sentiasa mendengar maklum balas dari rakyat tentang keputusan melaksanakan CBP ini.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menyebarluaskan fakta yang benar mengenai CBP melalui penganjuran seminar dengan memanggil pelbagai pihak, terutama daripada negara-negara yang telah berjaya dalam cukai ini, supaya rakyat dapat kefahaman yang sebenar dan sahih,” katanya.

Beliau berkata Malaysia masih berada di landasan pembangunan yang tepat meskipun selama empat tahun kebelakangan ini berhadapan dengan cabaran ekonomi domestik dan ketidaktentuan ekonomi global.

Kerajaan juga memberi fokus kepada kebajikan dan kesejahteraan usahawan wanita negara ini melalui usaha melatih dan membangunkan mereka di bawah bidang kuasa Bidang Keberhasilan Utama Negara.

“Peluang ini disediakan untuk mereka menceburi bidang-bidang seperti pertanian, perkhidmatan, perikanan, perkilangan, keluarga dan perniagaan.

“Dalam konteks ini usahawan wanita merujuk kepada mereka yang memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM3,500 sebulan bagi tempoh tiga bulan secara berturut-turut. Sehingga kini, sebanyak 5,300 usahawan wanita terlatih telah dilahirkan,” katanya.
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger