Home » » Misteri kubur kecil terbongkar

Misteri kubur kecil terbongkar


KAMPUNG PAYA – PORT DICKSON. Misteri sebuah kubur kecil seakan-akan pusara seorang bayi yang terletak di kawasan paya di Kampung Paya Port Dickson terbongkar apabila ia digali untuk menanam bangkai seekor anjing, semalam.

Sinar Harian mendapati, lokasi penemuan kubur kecil itu terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan perumahan penduduk kampung dan hanya 100 meter dari kawasan ladang kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, polis menerima aduan awam mengenai penemuan kubur kecil itu sekitar jam 1.45 petang.

“Siasatan polis kemudiannya dilakukan dan mendapati ia hanyalah kubur bangkai seekor anjing hitam yang dikambus dengan tanah.

“Polis tidak menolak kemungkinan ini merupakan perbuatan pemujaan yang dilakukan oleh pihak tertentu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Zulkifli Manan, 51, berkata, dia mengetahui mengenai kewujudan kubur ini selepas dimaklumkan rakannya.

“Kami merupakan anggota keselamatan bantuan di ladang kelapa sawit ini dan rakan saya ke kawasan paya kerana hendak membuang air.

“Namun tidak lama selepas dia pergi, dia menghubungi saya dan memaklumkan mengenai penemuan kubur ini. Kami kemudiannya pergi ke lokasi lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Mujur, apa yang ditemui itu adalah bangkai anjing sahaja dan bukannya mayat. Jika tidak ia pasti sesuatu yang merumitkan,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan kubur tersebut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan kubur itu turut ditabur dengan bunga-bunga serta ditanda dengan pokok kecil di bahagian pangkal kubur seperti seakan-akan penanda kubur.

Ketika anggota polis menguraikan tanah kubur berkenaan terus kelihatan bangkai anjing hitam yang dibaluti oleh sehelai kain berwarna oren. Bangkai tersebut dipercayai baharu ditanam beberapa jam berikutan keadaan bunga yang masih segar selain kulit bangkai tersebut masih tidak terjejas atau berulat.

Namun ia mengeluarkan bau yang menusuk hidung. Kubur bangkai anjing itu kemudiannya dikambus semula.
--Sinar
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger