Home » » PM Pulang Segera Malam Ini Dari China

PM Pulang Segera Malam Ini Dari China


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak takziah kepada Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun, anakanda dan kerabat diraja Perak atas kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

“Dengan perasaan yang amat sedih dan dukacita, saya bagi pihak kerajaan dan rakyat jelata merakamkan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Bainun, anakanda-anakanda serta kerabat-kerabat baginda di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” kata beliau dalam satu kenyataan di Beijing hari ini.

Perdana Menteri yang berada di China untuk lawatan rasmi enam hari, berkata Almarhum telah banyak berjasa sepanjang tempoh pemerintahan baginda sebagai Sultan Perak dan semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Almarhum Sultan Azlan Shah juga telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang tempoh Baginda menjadi Ketua Hakim Negara,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata beliau telah meminta semua pihak mengibarkan bendera Malaysia separuh tiang di seluruh negara pada hari pemakaman esok.

Sementara itu, perdana menteri dalam entri Facebook beliau hari ini berkata “Sembah takziah atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Al-Fatihah”.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan kemangkatan Sultan Azlah Shah, 86, secara langsung menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada pukul 3.40 petang tadi.



Baginda mangkat pada pukul 1.30 tengah hari dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.

Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.

Berikutan kemangkatan Sultan Perak, Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, akan pulang ke Malaysia malam ini untuk memberi penghormatan terakhir.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan pulang sejurus selepas menghadiri satu majlis di Beijing.

Selepas memberi penghormatan terakhir kepada almarhum di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar esok, mereka akan kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan rasmi enam hari yang bermula semalam sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik dijalin antara Malaysia dan China.

– BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger