Home » , » Ikut siling pun tak lepas

Ikut siling pun tak lepas


CUBA lari dengan memanjat siling di Pulau Pinang dan baling batu di Kota Kinabalu belum dapat melepaskan pendatang asing tanpa izin (Pati) daripada dicekup pihak berkuasa yang melancarkan operasi besar-besaran, di seluruh negara, bermula tengah malam tadi.

Di PUTRAJAYA, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengotakan janjinya apabila mengetuai lebih 500 penguatkuasa dalam operasi besar-besaran mengempur Pati yang dijalankan serentak di seluruh negara, sebentar tadi.
Ahmad Zahid menyertai lebih 500 penguatkuasa membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia; Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela); Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menyerbu sarang Pati berdekatan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang.

Ketika melancarkan operasi sebentar tadi, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak akan berlembut lagi terutama dalam usaha membanteras Pati di negara ini.


Menurutnya, kerajaan sudah memberi tempoh mencukupi buat majikan untuk mendaftarkan pekerja asing mereka terutama menerusi Program Khas Pemutihan Pati (PKPP) yang baru sahaja tamat jam 12 malam tadi.


"Kami tidak mahu kerajaan dituduh 'tin kosong' justeru, saya sendiri turun untuk menyertai operasi ini hari ini," katanya.

Justeru, katanya, operasi ini dilancarkan serentak seluruh negara bagi memastikan Pati diusir dari Malaysia.

Sementara itu, katanya, pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh PKPP kerana tempoh diberikan sebelum ini sudah mencukupi.

Hadir sama pada operasi berkenaan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia.

Di JURU, 102 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pendaftaran negara menjalankan pemeriksaan di flet di Taman Pelangi, di sini, terkenal sebagai penempatan warga asing.

Dalam pemeriksaan Op Pati bermula 1 pagi tadi, 40 warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Vietnam termasuk dua kanak-kanak ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Pihak berkuasa terpaksa memecahkan pintu premis berikutan kengganan warga asing memberikan kerjasama ketika pemeriksaan dijalankan.

sehingga jam 1.30 pagi tadi proses semakan dokumen masih dijalankan ada warga asing dikesan bersembunyi dalam tangki air.

Di KUALA LUMPUR, 230 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan terbabit dalam operasi Op 6p Bersepadu yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Dalam operasi membabitkan enam agensi antaranya 52 anggota Jabatan Imigresen Malaysia, 55 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA (44), JPAM (12), DBKL (50) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Di SHAH ALAM, 19 warga asing termasuk seorang wanita ditahan dalam operasi besar-besaran kawasan rumah kongsi di Denai Alam, di sini, bermula jam 12 tengah malam tadi.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata operasi disertai 33 pegawai dan anggota dari Imigresen Selangor, 33 anggota RELA dan empat pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Di KUALA TERENGGANU, 154 anggota terdiri Imigresen, RELA, SPRM, JPAM dan JPN negeri mengadakan Ops Pati di sini bermula jam 12.45 pagi.

Anggota penguatkuasa dibahagikan kepada tujuh kumpulan yang ditugaskan memeriksa antara tujuh hingga 20 lokasi sekitar bandar raya ini.

Dalam operasi pertama dilakukan di sebuah rumah sewa berhampiran Pantai Batu Burok, anggota penguat kuasa memerlukan kira-kira setengah jam mengetuk dan mengarahkan pintu rumah dibuka sebelum seorang lelaki India berusia lewat 30-an muncul membuka pintu.

Enam PATI ditahan kerana kesalahan permit kerja tamat tempoh.


Di ARAU, 26 termasuk 25 lelaki dan seorang wanita Pati ditahan dalam Operasi 6P bersepadu.

Di dalam operasi yang bermula pada 12.30 tengah malam dan berakhir 2 pagi itu beberapa agensi penguatkuasa menyerbu dua lokasi berasingan di Ulu Pauh di sini.

Ketua Operasi, Mohd Zulhilmi Zulkifly, berkata 50 anggota penguatkuasa terdiri daripada PDRM, JPAM, Rela,JPN dan Imigresen menahan kesemua mereka terdiri daripada 10 warga Myammar,14 Bangladesh dan dua dari Indonesia itu.

Zulhilmi yang juga Timbalan Pengarah Imigresen negeri itu berkata seramai 99 orang diperiksa dibdalam operasi berkenaan.

"Operasi yang dianggap berjaya ini berjalan lancar dan antara kesalahan yang didapati dilakukan adalah tidak memiliki permit kerja dan dokumen perjalanan tamat tempoh.

"Kesemua mereka yang ditahan akan dihantar ke Kompleks Imigresen negeri bagi tindakan selanjutnya," katanya.
--Hmetro
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger