Home » , » Kanak-kanak 4 tahun maut

Kanak-kanak 4 tahun maut


MARANG - "Adik nak gi dekat Acik," demikian kata-kata terakhir, Muhamad Aizat Iskandar Sulaiman, 4, kepada ibunya, Roslaini Ismail, 40, sebelum maut dilanggar sebuah motosikal tidak jauh dari rumahnya, di Jalan Gong Merawang, di sini, petang kelmarin.

Semasa kejadian, Muhamad Aizat dipercayai hendak melintas jalan menemui kakak dan dua abangnya yang berada berdekatan tempat kejadian sebelum dilanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Legenda.

Menurut Roslaini, tidak sampai 10 minit selepas anak bongsunya keluar dari rumah, hatinya tersentap apabila terdengar bunyi bising orang ramai mendakwa seorang kanak-kanak dilanggar motosikal di persimpangan jalan berdekatan rumahnya.

“Saya terus ke simpang jalan selepas dimaklumkan kanak-kanak yang dilanggar itu adalah anak bongsu saya.

“Menggeletar tubuh saya apabila diberitahu mengenainya, namun saya tetap beranikan diri untuk melihat keadaan sebenar sama ada dia Aizat atau bukan,” katanya.

Abang dukung adik ke rumah

Roslaini yang tiba di tempat kejadian hampir rebah apabila melihat mangsa berlumuran darah didukung seorang lagi anaknya, Muhamad Faizal, 11, dan dalam masa sama melihat dua lagi anaknya, Norfaizah, 14 (Acik), dan Awang, 7, menangis.

Dia bagaikan hilang punca, tambahan suaminya, Sulaiman Awang, 40, tiada di rumah kerana keluar bekerja di kebun getah di Kelulut.

“Anak saya (Muhamad Faizal) juga tak beri budak yang langgar itu bawa adiknya ke hospital, dia sanggup dukung adiknya ke rumah. Saya dapati Aizat luka di dahi, betis, tangan dan kakinya patah serta kepalanya berdarah.

“Faizal kata jantung adik juga tiada denyutan, jadi kami terus bawa Aizat dengan kereta saya ke Klinik Kesihatan Marang untuk diperiksa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Selepas pemeriksaan, pembantu perubatan klinik berkenaan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah sebelum perkara itu dimaklumkan kepada bapa mangsa dan polis untuk tindakan lanjut.

Kali kedua anak maut akibat kemalangan

Dalam pada itu, bapa mangsa, Sulaiman Awang, 40, tidak sanggup melihat anaknya dari dekat kerana pernah melalui pengalaman sama apabila anak sulungnya, Nurul Fazira juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

“Arwah kakaknya ketika itu berumur 16 tahun dan meninggal dunia selepas dilanggar kereta ketika menunggang motosikal hampir empat tahun lalu, semalam (kelmarin) saya dikejutkan lagi dengan kejadian sama tetapi menimpa anak bongsu pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira  jam 6 petang dan siasatan awal polis mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa ketika hendak melintas jalan,” katanya.

Difahamkan, penunggang motosikal berumur 17 tahun bagaimanapun tidak cedera, manakala jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seberang Marang di sini, pagi semalam.
--Sinar

Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger