Home » , » Kes dera Di Sweden: Mana suara pejuang hak asasi?

Kes dera Di Sweden: Mana suara pejuang hak asasi?


SAYA hairan melihat sikap membisu seribu bahasa mereka yang mendakwa diri dan kumpulan mereka sebagai pejuang hak asasi manusia dalam kes penahanan tanpa bicara rakyat Malaysia di Sweden.

Pengarah Pelancongan Malaysia di Stockholm, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Nurshal ditahan sejak 18 Disember 2013 kerana didakwa memukul tangan anaknya dalam cubaan mendisiplinkan anak itu yang tidak bersolat.

Kedua-dua ibu bapa malang ini ditahan tanpa jaminan dan tanpa sebarang pertuduhan dikenakan sejak sebulan lepas.

Di waktu sama, kesemua anak mereka yang masih kecil diambil oleh pihak berkuasa Sweden dan ditempatkan dibawah penjagaan sebuah keluarga bukan Islam!

Jelas bagaimana pelanggaran hak asasi manusia dalam kes ini:

1. Kedua mereka ditahan lebih sebulan tanpa bicara dan tanpa sebarang pertuduhan;

2. Anak-anak mereka "dirampas" tanpa sebarang hak untuk mereka bela diri;

3. Kedua mangsa dan anak-anak mereka dinafikan hak mengamalkan agama mereka malah dianiaya dengan penempatan di rumah bukan Islam.

Dalam keadaan itu, saya hairan mereka-mereka yang mendakwa pejuang hak asasi manusia menjadi bisu tak berkata apa!

Apakah hak asasi manusia hanya jika ada kepentingan politik mereka, atau kepentingan etnik, kaum dan keagamaan mereka?

Lihat dalam kes guru wanita beragama Islam yang dicabul hak agamanya bila dipaksa membuka tudung dan diancam keselamatannya di SJK (C) Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor.

Mengapa kumpulan yang mengaku pejuang hak asasi manusia ini langsung tidak bersuara? Sikap membisu mereka sekadar menyerlahkan kepalsuan perjuangan mereka!

Lihat pula dalam kes Masyhadi Mas Selamat yang dikenakan tahanan tanpa bicara dibawah ISA selama dua tahun oleh Kerajaan Singapura. Sehingga hari ini tidak kedengaran langsung sepatah haram suara para pejuang hak asasi ini!

Ini adalah sikap hipokrit dan double standard yang jelas membuktikan perjuangan mereka langsung tidak ikhlas dan bukan bertujuan untuk memantapkan prinsip hak asasi manusia.

Sebaliknya ianya semua adalah sandiwara politik semata-mata untuk meraih sokongan dengan menimbulkan kebencian kepada kerajaan.

Saya mencabar mereka supaya segera menyatakan pendirian mereka dalam isu-isu di atas.

Jika tidak, saya cabar mereka supaya diam dan tutup mulut, kerana apabila kamu membuka mulut kamu, bau pekong hipokrit kamu menusuk jiwa kemanusiaan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

Saya juga hairan mengapa Suhakam dan Majlis Konsultansi Perpaduan Nasional (KPN) tidak memanggil mesyuarat tergempar untuk membincangkan dan mengutuk tindakan pihak SKJ (C) Teluk Sengat, Kota Tinggi yang jelas mencabuli hak asasi guru tersebut dan mencemar kesucian Islam; perlakuan yang jelas boleh menggugat perpaduan nasional dan keharmonian antara agama dan kaum.

MKPN nampak begitu ghairah dan gopoh dalam mengutuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menjalankan tugas mengikut undang-undang; jadi saya menunggu MKPN segera menjalankan kewajipan dan tanggungjawab mereka menjaga keharmonian agama dan kaum di Malaysia.

Juga saya masih menunggu kalau-kalau para pejuang hak asasi ini mahu menghantar rombongan membawa bunga dan menziarahi guru malang yang dicabuli hak asasi dan hak mengamalkan agama Islamnya. Saya percaya mereka juga mempunyai prinsip umat Islam berhak mengamalkan perintah agamanya tanpa gangguan dan pencabulan daripada mana-mana pihak, tak begitu?

Di waktu sama, saya mengutuk keras tindakan Sweden yang menahan tanpa bicara kedua-dua mangsa rakyat Malaysia ini. Mereka sekadar melaksanakan amalan dan tuntutan agama Islam yang membenarkan ibubapa mendisiplinkan anak-anak jika mereka tidak mahu solat (dengan pukulan yang terlalu ringan samada di tangan ataupun bahagian punggung sebagai pengajaran bukan penderaan).

Saya juga mengecam keras tindakan Sweden merampas kanak-kanak ini, memisahkan mereka daripada jagaan sah ibubapa mereka, dan meletakkan mereka dibawah penjagaan keluarga bukan Islam. Ini adalah pencabulan hak asasi yang begitu ketara dan satu penghinaan kepada Islam. Kita masih tidak lupa persitiwa Natrah tahun 1950an dalam keadaan yang hampir sama dipisahkan daripada ibu angkatnya beragama Islam dan diletakkan di pusat jagaan kristian; akhirnya Natrah dimurtadkan.

Akhirnya saya menyeru Kerajaan Malaysia supaya segera bertindak menghantar protes diplomatik terhadap penahanan guru dan isterinya itu berserta penahanan anak-anak mereka di rumah keluarga bukan Islam. Kita lihat bagaimana Kerajaan India begitu tegas mempertahankan hak pegawainya yang ditahan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), walaupun pegawai itu didapati melakukan kesalahan.

Dalam kes kita, saudara Azizul dan isterinya sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam mengikut perintah agama Islam. Oleh itu kita tidak boleh membiarkan mana-mana negara memperlekehkan kita yang dikenali sebagai negara model dan contoh bagi umat Islam. Sedangkan seorang muslimah yang diperlekeh tudungnya oleh para kuffar menyebabkan Khalifah menghantar bala tentera Islam untuk menebus pencabulan itu.

Kita berhikmah dalam berdakwah, tetapi kita mesti tegas keras dalam melaksanakan kewajipan agama!

Wallahua'lam dan wassalam.

Zulkifli Noordin
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger