KOTA KINABALU – Seorang remaja maut dalam satu kemalangan yang melibatkan motosikal ditungganginya ketika cuba mengelak kereta polis yang sedang meronda pada Sabtu malam.
Remaja yang tidak memiliki lesen motosikal itu cedera parah apabila dia berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dekat pasaraya Tong Hing.
Pemangku Ketua Polis Bandaraya Superitendan M. Chandra berkata, polis mengklasifikasikan kes sebagai kemalangan jalanraya.
Mangsa yang berusia 17 tahun itu dikenalpasti sebagai Mohd Firdaus bin Gumbar.
Polis mengesahkan yang mangsa tidak memiliki lesen menunggang motosikal.
Difahamkan ketika kejadian, polis trafik sedang melakukan rondaan untuk menahan pesalah lalulintas dari pukul 11.30 malam pada Sabtu.
Mangsa dilaporkan sedang menunggang motosikalnya bersendirian pada pukul 1.30 pagi apabila dia ternampak polis trafik.
Dalam cubaan melarikan diri, mangsa memecut motosikalnya melalui lorong-lorong di belakang bangunan Great Eastern sehingga ke Bank Standard Chartered.
Ketika melalui lorong belakang pasaraya Tong Hing, motosikal mangsa bertembung dengan Perodua Kelisa yang datang dari Restoran Nagasaki.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk dirawat namun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami pada pukul 2.40 pagi semalam.
Kemalangan berlaku ketika Op Cantas Khas Trafik/Op Mabuk/Op Motorsikal yang berakhir pada pukul 5 pagi semalam.
Chandra berkata polis telah menahan tujuh penunggang motosikal kerana melanggar peraturan jalanraya.
Sepuluh pemandu kereta telah diarahkan supaya menjalani ujian alkohol untuk memastikan samada mereka memandu di bawah pengaruh alkohol dan tiga daripadanya gagal serta ditahan untuk disiasat lebih lanjut.
Chandra memberi amaran yang polis akan terus menjalankan operasi seumpama itu untuk menangkap mereka yang melanggar peraturan jalanraya, menurut sumber Borneo Post
Catat Ulasan