Home » , » Penjenayah takut nyamuk Serah Diri Pada Polis

Penjenayah takut nyamuk Serah Diri Pada Polis


Segamat: Bimbang diri mereka menghidap demam denggi kerana digigit nyamuk ketika tidur dalam belukar selama lima hari menjadi pelarian, dua suspek kes pecah rumah dan mencederakan remaja lelaki, hujung tahun lalu, akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, dua suspek berusia 24 dan 36 tahun yang juga bersepupu memasuki pekarangan IPD Segamat pada jam 1 pagi selepas lima hari menyembunyikan diri.


“Dua lelaki itu suspek utama kes pecah rumah dan menyerang remaja lelaki di kuarters sebuah ladang di Tenang hujung tahun lalu.
“Ketika itu, salah seorang daripada dua penceroboh bersenjatakan parang menetak remaja berkenaan hingga mangsa menerima 100 jahitan di badan.


“Kami cuba mengesan dua lelaki itu, namun mereka menghilangkan diri dari rumah di sekitar Tenang sebelum menyerah diri, semalam (kelmarin),” katanya.


Menurutnya, siasatan mendapati dua lelaki berkenaan akhirnya berputus asa menyerah diri kerana bimbang menghidap demam denggi dan mati di dalam belukar.

Katanya, mereka mendakwa digigit ratusan nyamuk setiap malam tidur di dalam belukar selama lima hari kerana bimbang dikesan polis sekiranya pulang ke rumah.


“Mereka juga tidak tahan menjalani kehidupan harian yang terhad selain tidak berani berada di lokasi awam kerana bimbang pergerakan mereka dikesan polis.

“Berikutan itu, dua lelaki berkenaan direman hingga 9 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh kediaman,” katanya.


Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun diserang dua lelaki dengan seorang daripada mereka bersenjatakan parang ketika tidur berseorangan di rumahnya di kuarters pekerja ladang di sekitar Tenang.


Remaja itu dipercayai diserang selepas menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita berusia 20 tahun.


Mangsa kini masih dirawat di Hospital Segamat. Sementara itu, bapa mangsa yang juga pekerja ladang di Tenang dikenali sebagai Chan, 45, berkata, dua lelaki termasuk abang kepada teman wanita anaknya dan bapa saudara wanita itu, sepatutnya datang berjumpanya untuk berbincang terlebih dulu dan bukannya terus menyerang anaknya.


“Ini hanya cinta monyet dan saya sendiri boleh menasihatkan anak saya supaya memutuskan hubungan dengan wanita itu.


“Ini tidak, dia terus diserang dan kini masih terlantar di Hospital Segamat serta menerima rawatan akibat kecederaan di seluruh badan,” katanya
--Hmetro
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger