Sepang: Malaysia sudah menerima data asal satelit dan radar dari sebuah negara di dua koridor pencarian pesawat MH370, namun maklumat data tidak boleh didedahkan kepada umum atas sebab keselamatan.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata data yang diserahkan sangat sensitif kerana ia membabitkan maklumat radar negara berkenaan, dan hanya diberi untuk membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) MH370.
“Belum boleh lagi dedahkan (maklumat data). Tetapi saya boleh sahkan kerjasama dari negara yang dihubungi adalah petunjuk utama dalam operasi mencari pesawat ini, malah negara terbabit memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh.
Data diserah sangat sensitif
“Data yang mereka serah adalah sangat sensitif... kita tak boleh dedahkan,” katanya pada sidang media hariannya di sini, semalam.
Kelmarin, Tentera Thailand berkata radarnya mengesan sebuah pesawat yang berkemungkinan MH370 beberapa minit selepas komunikasi pesawat itu dikatakan terputus.
Laluan yang digambarkan jurucakap Tentera Udara Thailand, Naib Marshal Udara, Montol Suchookorn membawa pesawat itu ke Selat Melaka di mana radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan MH370 pada awal pagi 8 Mac lalu.
Hishammuddin yakin maklumat data yang diperoleh mampu membantu dalam SAR membabitkan kawasan carian di dua koridor itu.
Diminta mengulas dakwaan radar tentera Thailand mengesan pesawat MH370, beliau berkata ia belum dapat disahkan lagi.
“Kawasan pencarian di koridor utara dan selatan sangat luas, tindakan kita adalah untuk mengecilkan kawasan pencarian.
“Untuk ini, kita meneliti satelit selain meminta data radar utama, data sekunder komersial dan tentera. Data yang diperoleh akan memutuskan bagaimana aset dikoordinasikan,” katanya.
Laporan tidak benar
Sementara itu, mengulas laporan media asing bahawa ada pesawat dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives, Hishammuddin berkata, laporan itu tidak benar.
“Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkefli Mohd Zin sudah menghubungi rakan sejawatnya di Maldives yang mengesahkan laporan itu tidak benar,” katanya.
Hishammuddin juga memaklumkan beliau tahu ada spekulasi mengatakan maklumat laluan penerbangan (waypoints) ditambah kepada laluan asal MH370, tetapi mengesahkan pesawat itu terbang mengikut laluan ditetapkan sehingga Igari atau ruang udara sempadan Malaysia/Vietnam.
Catat Ulasan