Home » » Tergamak curi barang di kedai ayah

Tergamak curi barang di kedai ayah


BESUT - Dipercayai akibat dipengaruhi dadah methamphetamine (pil kuda) seorang lelaki sanggup mencuri barangan di kedai perkakasan pertukangan milik bapanya sendiri di Kampung Gong Bayor di sini.
(Gambar Hiasan)
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang berusia 66 tahun terkejut apabila melihat sendiri anak lelakinya yang berusia 37 tahun mencuri beberapa perkakasan di kedai tersebut Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, pada pagi kejadian, mangsa pergi ke kedai dan mendapati sebuah van berada di hadapan kedainya.

Menurutnya, mangsa mendapati dua lelaki yang dikenalinya sedang memunggah barang dari dalam kedai ke dalam van tersebut.

“Setelah van tersebut beredar dari situ, mangsa memeriksa di dalam kedai dan mendapati lima tandas duduk dan lima gulung dawai pagar telah tiada dan mengesyaki anaknya terlibat sama dalam kejadian itu,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja dan bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan dan memberkas anak mangsa pada Sabtu lalu jam 4.30 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan menjual barangan berkenaan kepada rakannya.

“Polis turut berjaya menemui semula barang kes manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
--sinar
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger