Endau: Seramai 40 daripada 204 penduduk Pulau Tioman, Pahang yang terkandas sejak seminggu lalu di bandar Mersing di sini, dihantar pulang dengan bantuan Jabatan Laut Malaysia melalui jeti Tanjung Gemuk, semalam.
Penghantaran ihsan secara berperingkat menggunakan bot MV Sirius milik jabatan itu adalah hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang berkata, penghantaran pulang penduduk itu terpaksa dilakukan segera kerana ada yang meninggalkan keluarga masing-masing di pulau berkenaan.
Hantar berperingkat
“Penghantaran dilakukan secara berperingkat berikutan keadaan laut yang masih bergelora.
“Sebagai permulaan, seramai 40 penduduk dihantar pulang manakala bakinya menyusul bergantung kepada keadaan laut.
“Perkhidmatan feri masih tergendala dan difahamkan ia akan beroperasi semula selepas 7 Januari ini,” katanya ketika ditemui di jeti Tanjung Gemuk di sini, semalam.
Mohd Johari turut berterima kasih kepada Jabatan Laut Malaysia dan ADUN Endau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi, yang membantu menyediakan tempat tinggal sementara.
Mangsa daripada 25 keluarga dari Tioman itu terkandas di bandar ini sejak seminggu lalu selepas perkhidmatan feri tidak beroperasi akibat keadaan laut bergelora.
Kebanyakan mereka yang berkunjung ke daerah ini untuk membeli keperluan harian selain menyediakan persiapan persekolahan anak.
Perkhidmatan feri dari jeti Kuala Sungai Mersing dan Tanjung Gemuk tidak beroperasi sejak 23 Disember lalu hingga 7 Januari ini.
Ia menyebabkan sebahagian besar mangsa yang tidak mempunyai wang mencukupi untuk tinggal lama di Mersing, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di balai raya Kampung Air Merah di sini, sejak Ahad lalu.
--Bh
Catat Ulasan