Home » , » Mengaku cederakan isteri, bekas isteri

Mengaku cederakan isteri, bekas isteri

KUANTAN - Seorang kontraktor diperintahkan membayar kompaun RM500 kepada isterinya selepas dia mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencederakan wanita itu dalam satu kejadian di rumah mereka di sini, 27 Disember lalu.

Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali membuat keputusan itu selepas mangsa tampil memberitahu mahkamah bahawa masalah mereka sudah selesai dan permohonan untuk menarik balik laporan polis  juga  sudah dibuat sebelum ini.

Tertuduh, Mohd Aizam Mohamed Yusoff, 48 didakwa menyebabkan kecederaan wanita itu dengan memukul dan menyepaknya di hadapan anak mereka berusia enam tahun.

Ekoran kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang bertugas sebagai anggota polis membuat laporan sehingga membawa kepada penahanan suaminya.

Tertuduh, dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun  atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Noor Zaihan sebelum itu menegur perbuatan tertuduh yang dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup mencederakan isterinya sendiri sedangkan wanita itu sedang mengandung.

Tertuduh bagaimanapun menjelaskan kejadian yang berlaku disebabkan salah faham.

Penjelasan tertuduh itu tidak dapat diterima kerana dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian apatah lagi dilakukan di hadapan anak yang masih kecil.

“Kamu bernasib baik dan patut bersyukur kerana isteri sedia untuk memaafkan atas perbuatan itu,” katanya.

Tertuduh kemudiannya dilepas dan dibebaskan selepas menyerahkan wang RM500 kepada isteri dengan disaksikan Noor Zaihan sendiri.

Sementara itu dalam mahkamah sama, tertuduh turut berdepan tuduhan sama kerana menyebabkan kecederaan bekas isteri apabila bertindak menyepak dan memukul wanita berusia 38 tahun itu dalam satu kejadian di sebuah rumah di Taman Hong Lee, Jalan Penjara di sini, 23 Januari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh mengaku bersalah dan pada 6 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan hukuman kes tersebut.

Bagi kes itu, tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin bercagar.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari.
--Sharian
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger