Home » , » Subkontraktor dijel 18 tahun, sebatan lapan kali

Subkontraktor dijel 18 tahun, sebatan lapan kali


KUALA LUMPUR 31 Dis. — Seorang subkontraktor terpaksa menyambut kehadiran tahun baharu esok dalam penjara apabila dia dihukum penjara 18 tahun dan sebatan lapan kali oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini setelah didapati bersalah merogol dan meliwat seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun, tahun lalu.

Mendengar keputusan itu, Nazarul Rizman Mohd. Tartip, 31, yang tidak dapat menerima hakikat tersebut, meraung sekuat hati sambil terduduk di kandang tertuduh sebelum mendakap ibunya.

Hakim Manira Mohd. Nor menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan lima kali bagi kesalahan merogol manakala bagi kesalahan meliwat, lelaki itu dipenjara lapan tahun dan sebatan tiga kali.

Kedua-dua hukuman tersebut berjalan secara bersaingan setelah mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Lelaki yang diwakili peguam Muhammad Zaim Azfar Jalaludin itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu terhadap mangsa yang merupakan anak kepada bekas kekasihnya di sebuah apartmen di Taman Bukit Indah, Ampang dekat sini antara 3 September dan 16 September 2012.

Bagi pertuduhan merogol, Nazarul Rizman didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat.

Sementara bagi pertuduhan meliwat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Dalam keputusannya, Manira memberitahu, berdasarkan kredibiliti tertuduh ketika memberi keterangan, mahkamah mendapati lelaki itu keliru dan dalam keadaan gelisah.

Malah katanya, keterangan tertuduh ketika pembelaan juga hanya bersifat penafian, rekaan dan tidak munasabah.

"SMS (khidmat pesanan ringkas) yang dihantar tertuduh kepada ibu mangsa juga menguatkan lagi pendakwaan yang mana boleh dibuat andaian bahawa sekiranya tidak ada perbuatan seumpama itu maka tidak akan ada wujud sebarang rundingan.

"Sekiranya rundingan itu dibuat maka wujudlah perkara seperti yang didakwa itu," kata beliau.

Selain itu kata Manira, usia mangsa yang muda tidak akan menimbulkan peluang untuk mangsa mereka-reka cerita yang sentiasa konsisten, sama ada di pusat temu duga (CIC) di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman atau di mahkamah.

--Umalaysia
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger