Home » , » Guru dicekup jual pistol tiruan

Guru dicekup jual pistol tiruan


Tindakan seorang guru berusia 27 tahun cuba menjual tujuh pucuk pistol tiruan menerusi Facebook membawa padah apabila ditahan polis di depan sebuah kedai runcit di Jalan Pasir Mas-Salor, di sini, kelmarin.

Lelaki berasal dari Kampung Limbat, di sini, itu ditahan ketika dalam Ops Cantas Khas jam 1.30 tengah hari oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.


Timbalan Ketua Polis Kota Bharu Superintendan Idris Abd Rafar berkata, pihaknya menahan sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu suspek ketika melalui lokasi kejadian.

“Pemeriksaan dijalankan di bonet kereta membawa kepada penemuan sebungkus plastik hitam di dalamnya iaitu tujuh kotak masing-masing mengandungi sepucuk pistol tiruan bertulis G.29 Airsoft Gun bersama kelopak peluru berwarna hitam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, semalam.


Idris berkata, hasil soal siasat, lelaki itu membeli semua pistol berkenaan di Golok, Thailand dengan harga RM60 setiap satu.

“Suspek dipercayai akan menjual kepada pelanggannya menerusi Internet di Facebook ‘AirsoftMalaysia’. Bagaimanapun, suspek tidak tahu di kedai mana senjata itu dibeli kerana ia diuruskan seorang warga Thailand.

“Difahamkan, kebanyakan pelanggannya membeli senjata itu untuk menembak cicak dan permainan paintball,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal suspek tidak mempunyai rekod jenayah.



“Dia kini ditahan reman empat hari bermula hari ini (semalam) dan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” katanya.


Sehubungan itu, Idris menasihatkan supaya orang awam tidak sewenang-wenangnya memiliki senjata tiruan tanpa kebenaran.


“Menjadi kesalahan kepada mana-mana orang awam memiliki senjata tiruan, terutama di tempat awam. Permohonan perlu dibuat terlebih dulu sebelum mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Negeri,” katanya.
--Hmetro
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger