Home » , » Nelayan akui sudah tiga kali dapat ikan gergasi

Nelayan akui sudah tiga kali dapat ikan gergasi


GEORGETOWN - Seorang nelayan tidak menyangka memperoleh wang sebanyak RM11,000 selepas berjaya membawa naik seekor ikan kerapu gergasi pagi kelmarin.

Ikan seberat 200 kilogram (kg) itu ditangkap menggunakan pukat tunda kira-kira tujuh batu nautika dari perairan Tanjung Huma Teluk Bahang, di sini.

Nelayan yang mahu dikenali sebagai Ah Moon berkata, tangkapan ikan gergasi itu adalah rezeki lumayan kali ketiga baginya dalam tempoh tiga bulan. Kali pertama ialah pada November lalu, apabila dia mendaratkan ikan gergasi spesies sama.

“Saya terkejut apabila mendapati pukat yang kami tarik bersama tiga awak-awak yang lain menjadi terlalu berat.

“Saya menjangkakan pasti ada sesuatu yang lumayan masuk pukat kami dan apabila berjaya ditarik mendapati ikan kerapu gergasi tersangkut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ah Moon berkata, kejayaan menangkap ikan itu menarik perhatian ramai apabila ia dibawa ke Pasar Jalan Tujuh, pagi kelmarin.

Kehadiran ikan gergasi itu turut menarik perhatian seorang pemilik restoran makanan laut yang mahu membelinya pada harga RM11,000.

Menurutnya, setiap kali dia berjaya membawa naik ikan besar pasti pemilik restoran makanan laut berkenaan menawarkan diri membeli daripadanya.

“Sebelum ini dia pernah membeli ikan gergasi daripada saya yang bernilai RM9,000.

“Selepas mendapat tahu mengenai tangkapan ikan gergasi kelmarin dia terus menghubungi saya dan minta saya menjual kepadanya,” katanya.

Spesies kerapu gergasi yang turut dipanggil sebagai kertang itu mampu membesar sehingga dua meter panjang dengan berat 400 kilogram dan mempunyai nilai pasaran mencecah RM70 sekilogram.
--SinarHarian
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger