Home » , » Penduduk pertaruh nyawa setiap hari

Penduduk pertaruh nyawa setiap hari


HULU BESUT - Penduduk Kampung Kelekok dekat Seberang La, di sini merayu pihak berkaitan supaya segera membaiki beberapa jalan runtuh di kampung itu yang menghubungkan jalan utama Jertih ke Keruak.

Penduduk, Hassan Awang, 63, berkata, jalan itu runtuh sejak dua tahun lalu akibat hakisan arus deras pada musim tengkujuh yang berlaku pada 2011.

Menurutnya, terdapat dua tempat berlaku jalan runtuh yang terletak kira-kira 100 meter antara satu lain, iaitu di bawah bahagian jalan baru menghubungkan Keruak ke Seberang La.

“Penduduk merayu agar pihak berkaitan membaiki jalan tersebut kerana sudah dua tahun menunggu.

“Sebelum ini penduduk menggunakan laluan alternatif yang terletak berhampiran namun, sejak hujan lebat baru-baru ini jalan tersebut turut mengalami kerosakan dan tak boleh dilalui oleh kereta, hingga sekarang,” katanya.


Berdepan risiko jatuh parit

Seorang lagi penduduk, Kamarulzaman Mohamad, 34, berkata, penduduk terutama kanak-kanak berdepan dengan risiko kemalangan setiap hari ketika melalui jalan runtuh tersebut.

Katanya, penduduk yang bermotosikal terpaksa menggunakan jalan itu biarpun ia mampu mengundang kemalangan terutama ketika menghantar dan mengambil anak pulang dari sekolah sama ada di Sekolah Kebangsaan (SK) La atau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong.

“Kira-kira 20 keluarga yang tinggal di kampung ini dan kampung berdekatan terpaksa melalui lorong sempit selebar kira-kira dua kaki setiap hari, malah laluan ini merupakan jalan utama orang ramai dari kampung lain untuk ke kebun termasuk menoreh getah.

“Kalau tersalah langkah, kemungkinan buruk boleh berlaku termasuk terjatuh ke dalam parit sedalam lebih tiga meter di situ,” katanya.


Terpaksa guna jalan lebih jauh

Kamarulzaman berkata, ketika musim hujan penduduk terpaksa berkereta sejauh 19 kilometer (km) untuk menghantar anak ke sekolah kerana perlu melalui Felcra Keruak terlebih dahulu sebelum ke sekolah.

Menurutnya, sekiranya dapat melalui jalan tersebut jarak perjalanan ke sekolah kira-kira tiga hingga empat kilometer sahaja.

“Keadaan ini amat menyusahkan dan membebankan penduduk kerana mereka yang sebahagian besar petani, terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk hantar anak sahaja.

“Jalan tanah merah yang dijadikan jalan alternatif juga telah rosak teruk menyebabkan ia tidak boleh dilalui kereta walaupun pada musim kemarau, tambahan pula keadaan jalan ini yang curam dan berbukit,” katanya.

Sehubungan itu dia dan penduduk berharap pihak berkenaan dapat membaiki segera kerosakan jalan tersebut.


Masalah dalam tindakan

Adun Hulu Besut merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad ketika ditemui berkata, beliau telah memanjangkan masalah itu kepada agensi berkaitan dan akan
memastikan jalan tersebut dibaiki segera bagi kemudahan penduduk.

“Saya akan berbincang dengan agensi berkaitan untuk kerja-kerja membaiki jalan tersebut kerana kita tak mahu melihat rakyat berdepan dengan kesukaran,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Pegawai Daerah Besut, Zahanapi Sagaf berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu dan telah membawa masalah tersebut dalam mesyuarat pihak Pejabat Daerah Besut.

Menurutnya, masalah penduduk di kampung itu akan cuba diatasi segera dengan membaiki jalan yang runtuh akibat hakisan air sungai.
--Sinar Harian
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger