Home » , » Remaja terseret lebih 20 meter

Remaja terseret lebih 20 meter

BALING - Seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Diniah, Kupang, menjadi korban pertama kemalangan maut 2014.

Mangsa, Qiamudin Abdullah, 15, dari Kampung Landak Hilir maut setelah terbabas di Jalan Baru Grik- Kupang berdekatan Kampung Landak Bukit kira-kira jam 1.35 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa menunggang motosikal dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Menurutnya, mangsa cuba memintas sebuah kenderaan namun terbabas mengakibatkan mangsa terjatuh dan terseret lebih 20 meter.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan selain disahkan maut di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak keempat daripada enam beradik itu dikatakan baru sahaja dilantik sebagai pengawas sekolah tersebut dan merupakan pelajar yang baik dan pintar.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdullah Hamad, 53, berkata, dia terkejut setelah menerima panggilan mengenai anaknya yang terlibat dalam kemalangan.

“Selalunya, saya larang dia keluar, tapi, kali ini dia keluar juga,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun, dia reda dengan keadaan itu dan menganggapnya sebagai ujian ALLAH SWT kepada keluarganya.

“Dia anak yang rajin dan baik malah amat disenangi oleh rakan-rakannya,” katanya.

Mat Daud berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Baling sebelum dituntut oleh ahli keluarga.

“Difahamkan, terdapat rakan mangsa berada di kawasan itu semasa kejadian, justeru, kita berharap rakan mahupun saksi lain dapat tampil untuk bantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu sehingga mengakibatkan kematian.
--Sinar
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger