Home » , » Senyuman tiga arwah

Senyuman tiga arwah


Alor Setar: “Setiap malam, saya sering mimpikan arwah ayah, ibu dan along yang muncul dengan wajah tersenyum tanpa berkata apa-apa. Saya cuba untuk mengawal emosi dengan tidak menitiskan air mata kerana sudah lebih seminggu mereka pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.”

Begitu kata Atifah Norhairy, 17, apabila kerap bermimpi kehadiran kedua orang tua dan kakak sulungnya yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 451.6, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sungai Buloh, Selangor, pada 30 Disember lalu.


Dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, kereta PROTON Wira dipandu bekas anggota tentera, Norhairy Ahmad, 42, dipercayai merempuh belakang sebuah treler menyebabkan mangsa dan isterinya, Rohayati Oman, 42, dan anak perempuan mereka, Adibah, 17, meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, dua anak pasangan itu, Ahmad Kashful Hadi, 11, dilaporkan patah kaki, manakala Athirotul Huda, 7, pula mengalami kecederaan dalaman.


Bagaimanapun, Athirotul meninggal dunia pada 4 Januari lalu ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas koma sejak hari kejadian.


Menurut Atifah, kejadian itu turut menguji ketabahannya kerana dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini dan kini sedang menuntut di tingkatan lima Maktab Mahmud, Jalan Pegawai, di sini.
Menurutnya, dia masih teringat kali terakhir dihubungi bapanya kira-kira jam 10 malam iaitu kira-kira lima jam sebelum nahas berlaku apabila berpesan agar tidak lupa menggosok pakaian sekolah adiknya serta tidak nakal ketika di rumah datuk mereka di Kampung Hilir, Kepala Batas, di sini.


“Sebenarnya, saya dan adik ketiga, Ahmad Athirul Hadi, 13, tinggal di rumah datuk kerana kami berdua bersekolah di Alor Setar, manakala tiga beradik yang lain termasuk Ahmad Kashful tinggal bersama ibu dan ayah di Kuala Lumpur.

“Akibat kehilangan ayah dan ibu, saya akan cuba buat yang terbaik dengan menjaga dua adik yang masih kecil kerana arwah sempat menasihatkan saya supaya menjaga adik-adik dengan baik sekiranya mereka tiada nanti,” katanya.


Atifah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan Tabung Zakat Yayasan berjumlah RM6,000 yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (JHEV) Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah JHEV ATM Kedah Mejar Norhaizi Khaidzir.


Tiga beradik yatim piatu itu kini dijaga datuk mereka, Ahmad Abu Bakar, 70, dan nenek, Che Lian Saad, 62, selepas hilang tempat bergantung.


Atifah berkata, sebelum ini, dia amat berharap Athirotul dapat meneruskan kehidupan, malah sentiasa menziarahi arwah di HSB, tetapi keadaannya bertambah kritikal pada hari ketiga dan keempat selepas kejadian itu sebelum pergi menyahut panggilan Ilahi.
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger