Home » , » Suhu 17 Darjah Celsius Di Kuala Krai

Suhu 17 Darjah Celsius Di Kuala Krai


KUALA KRAI: Suhu serendah 17 darjah Celsius yang direkod di sini sejak Rabu lalu menyebabkan penduduk terpaksa memakai baju sejuk bagi memanaskan badan.

Tinjauan di dua tempat beriadah popular iaitu Taman Tasik Kuala Krai dan Taman Cinta Wangsa, mendapati ramai penduduk melakukan aktiviti riadah lebih lewat daripada kebiasaan berikutan kabus tebal yang menyelubungi kawasan itu.
Penjawat awam, Mohd Baihaqi Che Man, 28, berkata dia kini bersenam sekitar 8 pagi berbanding 7 pagi, pada minggu sebelumnya.

"Ini kerana cuaca yang sejuk menyebabkan kabus tebal dan jarak penglihatan

menjadi kurang. Saya mengambil keputusan untuk keluar berjoging lewat sedikit
pada hari ini kerana bimbang dirempuh kenderaan.


"Selain itu, saya terpaksa memakai tiga lapis baju, termasuk baju sejuk,
kerana suhu yang lebih sejuk berbanding minggu lepas," katanya kepada Bernama
hari ini.

Guru, Abd Aziz Daud, 42, dari Sungai Pas pula menyifatkan keadaan suhu yang rendah di kawasan pedalaman itu adalah luar biasa dan ada murid terpaksa memakai baju sejuk walaupun pada sebelah tengah hari.

"Bukan sahaja murid malah guru sendiripun ada yang memakai baju sejuk kerana
tak tahan dengan keadaan itu.

"Bagaimanapun, murid masih datang ke sekolah seperti biasa dan kehadiran
tidak terjejas walaupun keadaan suhu yang rendah di kawasan pedalaman," katanya.

Seorang lagi penjawat awam, Norazita Ismail, 36, dari Guchil 3, berkata
beliau terpaksa mandi menggunakan air panas sebelum ke tempat kerja.

"Nak sentuh air pun saya rasa takut, terutama ketika hendak solat Subuh. Air
terlalu sejuk... terasa seperti menyentuh ais pada waktu pagi ketika nak
berwuduk.

"Mujur kereta tak meragam dan dapat dihidupkan seperti biasa walaupun keadaan sejuk pada waktu pagi. Pukul 9.30 pagi pun masih berkabus," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher
berkata walaupun fenomena suhu rendah berlaku di negeri ini sejak Rabu lalu,
tiada sebarang masalah kesihatan dilapor sehingga kini.

Portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia pada Rabu lalu melaporkan Kuala
Krai mencatat suhu kedua paling rendah iaitu 17.2 darjah Celsius selepas
Cameron Highlands (12 darjah Celsius).

Suhu di Kuala Krai hari ini ialah minimum 19.1 darjah Celsius dan maksimum
29.2 darjah Celsius manakala di Kota Baharu pula, minimum 21.0 darjah Celsius
dan maksimum 27.9 darjah Celsius.

Fenomena suhu sejuk itu berpunca daripada luruan udara sejuk dari Tanah
Besar China yang bergerak ke Laut China Selatan, dan keadaan itu biasa terjadi
ketika Monsun Timur Laut. - Bernama

Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger