Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan 14 April bagi keputusan permohonan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengenepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.
Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Mohamad Nasrudin Mohamed, memberi tempoh kepada plaintif, Mohd Shamsul yang diwakili peguam A Vasudevan memfailkan afidavit balasan yang dikemukakan defendan.
Hadi yang merupakan ahli Parlimen Marang dinamakan sebagai defendan, tidak hadir di mahkamah hari ini, beliau diwakili peguamnya, Asmuni Awi manakala plaintif hadir di mahkamah.
Asmuni berkata, dalam sesi pendengaran itu peguam plaintif, Vasudevan mendakwa wujud elemen baharu yang ditimbulkan pihaknya, justeru memohon penangguhan bagi memfailkan afidavit jawapan.
"Kes hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan oleh pihak defendan. Kami memfailkan hujahan bagaimanapun peguam plaintif meminta penangguhan bagi membolehkan mereka memfailkan afidavit jawapan sebagai tambahan kepada afidavit yang mereka failkan dulu," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, hari ini.
Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Disember tahun lalu.
Mohd Shamsul mengambil tindakan itu selepas Hadi mengeluarkan kenyataan ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum lalu sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.
Dalam pernyataan tuntutannya dia mendakwa ucapan Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. - Bernama, 30 Mac, 2014.
Catat Ulasan