Home » , » Ketua Polis Kuching risau nasib anak saudara

Ketua Polis Kuching risau nasib anak saudara


Sepang: “Dia (adik) sepatutnya berada di sana (China) selama sebulan atas urusan kerja dipercayai berkaitan pembinaan sebuah kilang baru.

“Selain itu, dia dikatakan turut membawa beberapa bekalan makanan seperti mi segera dan paket rendang segera,” kata Lokman Mustapa, 40, abang kepada seorang penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang di Vietnam.


Adiknya, Suhaili, 31, antara 38 warga tempatan yang menaiki pesawat berkenaan dalam perjalanan ke Beijing, China.

Menurut Lokman, adiknya yang bekerja di sebuah syarikat semikonduktor di Petaling Jaya itu masih bujang dan sentiasa menjaga ibu mereka.


“Saya difahamkan dia pergi ke China bersama 15 rakan setugas atas urusan kerja,” katanya yang terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu, awal pagi semalam.


Beliau berkata, dia juga difahamkan ada satu keluarga lain yang mempunyai empat ahli keluarga turut menaiki pesawat sama dengan adiknya itu.

“Sehingga kini, tiada apa-apa maklumat lagi dan keluarga kami masih menunggu berita mengenai adik saya itu,” katanya di perkarangan Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, semalam.


Bapa saudaranya, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, semua ahli keluarganya masih trauma sebaik mengetahui pesawat dinaiki Suhaili hilang.
Katanya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh kakaknya yang juga ibu Suhaili, Rohani Ahmad yang tinggal di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor kira-kira jam 8 pagi, semalam.


“Saya masih terkejut dengan berita ini dan akan pulang ke Kuala Lumpur untuk memberi semangat kepada kakak yang juga ibu tunggal kerana difahamkan dia dalam keadaan trauma selepas mendapat berita insiden itu.


“Saya belum dapat apa-apa maklumat kejadian ini dan difahamkan dua ahli keluarga setiap penumpang akan dibawa ke lokasi kejadian untuk perkembangan lanjut,” katanya.


Roslan berharap semua penumpang dalam keadaan selamat selain meminta orang ramai jangan buat sebarang spekulasi kerana ia hanya mengganggu perasaan keluarga mangsa.


Katanya, apabila ada spekulasi mendakwa pesawat itu selamat mendarat di Namning, China, pagi semalam, dia sudah menarik nafas lega, tetapi sebaik mengetahui semuanya hanya khabar angin, perasaan risau itu semakin bertambah.


“Perkara seperti ini tidak boleh dibuat main kerana ia serius terutama apabila mengetahui ada ahli keluarga menjadi penumpang pesawat yang hilang,” katanya. Menurutnya, ketika ini keluarganya berada di KLIA bagi menunggu perkembangan terkini berhubung nasib pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.
--Hmetro
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger