KAMPUNG RAJA BESUT - Hasrat seorang lelaki mencuri sebuah motosikal milik kenalannya tidak kesampaian apabila diberkas orang ramai dalam kejadian di Jertih petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, suspek berusia 23 tahun diberkas penduduk kampung di Kampung Tok Has selepas usaha mengejarnya bermula dari Kampung Padang Luas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum kejadian pemilik motosikal itu yang berusia 17 tahun meletakkan motosikalnya jenis Honda di depan sebuah kedai runcit Simpang Pelagat dekat Kampung Padang Luas.
Menurutnya, mangsa kemudian masuk ke dalam kedai sebelum dua minit kemudian teringat tertinggal kunci pada motosikal.
“Mangsa keluar dari kedai dan nampak suspek yang dikenali dengan panggilan tertentu sudah melarikan motosikalnya,” katanya.
Noorzainy berkata, mangsa meminta rakannya mengejar suspek yang melarikan diri ke arah Kampung Tok Has.
Katanya, suspek yang panik dikejar meninggalkan motosikal mangsa di satu kawasan di kampung itu sebelum melarikan diri melalui kebun getah dan dikatakan mencuri masuk menaiki kereta penduduk kampung.
Bagaimanapun suspek berjaya diberkas penduduk kampung yang mengejarnya.
“Penduduk kampung menyerahkannya kepada polis dan suspek dari Kampung Padang Tapong dekat Padang Luas itu ditahan untuk siasatan lanjut.
“Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampetamine,” katanya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sementara itu dalam kes berasingan seorang pembonceng motosikal meninggal dunia selepas motosikal yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta polis malam kelmarin.
Beliau berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Muhammad Zulfazli Suzuki, 18, meninggal dunia kira-kira jam 7.15 petang sama ketika mendapat rawatan di unit kecemasan Hospital Besut.
Katanya, sebelum kejadian sebuah kereta polis jenis Proton Preve yang dipandu Koperal Faridah Mamat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kuala Terengganu bersama dua rakan setugas dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan.
Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian di simpang empat Madura, Kampung Paya Rawa dekat Kampung Raja, motosikal ditunggang rakan mangsa, Hafizuddin Mohd Salleh, 18 yang berada di bahagian kiri jalan secara tiba-tiba ke bahagian tengah jalan untuk masuk ke simpang menuju Kampung Limbongan.
“Anggota polis itu dikatakan gagal mengelak dan melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa melambung,” katanya.
Noorzainy berkata, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Besut akibat kecederaan parah.
Mangsa kemudian diserahkan kepada keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tembila manakala Hafizuddin dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Daerah Besut di talian 09-6972700.
Catat Ulasan