Home » » Gereja Di Seremban Anjur Muzikal Bahasa Melayu

Gereja Di Seremban Anjur Muzikal Bahasa Melayu


NGO Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengkritik tindakan sebuah gereja di Seremban yang menggunakan bahasa Melayu dalam promosi penganjuran Muzikal Easter yang mempunyai unsur memujuk golongan bukan Kristian untuk menghadiri acara tersebut.

Ketua Isma Cawangan Seremban, Zamani Ibrahim yang membuat pendedahan itu, berkata tindakan itu menimbulkan persoalan apabila pihak gereja bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu untuk menjalankan promosi, malah ia dilakukan secara terbuka melalui sepanduk iklan yang tergantung di luar premis dan di tempat awam.

“Meskipun penganut mana-mana agama selain agama Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing berdasarkan Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Persoalan timbul apabila penggunaan bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam mempromosikan muzikal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zamani, tindakan tersebut menimbulkan curiga memandangkan penganut Kristian di negara ini yang terdiri daripada kalangan kaum Cina dan India yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan mereka.

Oleh yang demikian, Zamani menggesa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS) membuat pemantauan sepanjang acara Muzikal Easter ini berlangsung.

“Hal ini supaya tidak ada mana-mana individu dalam kalangan umat Islam kita yang turut serta dalam sambutan ini dan juga memantau agar tidak terdapat unsur-unsur mahu pun sebarang bentuk sebaran untuk menyampaikan dakwah mereka kepada yang beragama Islam,” katanya.

Menurut kepercayaan penganut Kristian, Good Friday merupakan hari memperingati kematian Tuhan Jesus, manakala Easter pula merujuk kepada hari memperingati kebangkitan Tuhan Jesus pada hari ketiga selepas kematiannya, di mana Zamani berkata ia jelas bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Hari Easter atau dikenali sebagai Hari Paskah adalah satu perayaan yang lazimnya disambut pada Hari Jumaat (Good Friday) pada akhir bulan April dan awal bulan Mei.

Sambutan  berbeza-beza setiap tahun kerana dipengaruhi oleh pengiraan dan penetapan hari Easter berdasarkan kalendar Ibrani yang merujuk kepada Paschal Full Moon (PFM).  – The Malaysian Insider
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger