Home » » Matlamat Utama Pelaksanaan Hudud Adalah Beri Keadilan – Dr Asyraf

Matlamat Utama Pelaksanaan Hudud Adalah Beri Keadilan – Dr Asyraf


KUALA LUMPUR, 28 April – Ahli  Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dato Dusuki menegaskan bahawa sememangnya UMNO tidak  pernah menolak perlaksanaan hukum hudud di negara ini, seperti mana penjelasan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Menurut beliau, kesemua ahli dan kepimpinan UMNO memang bersepakat bahawa hudud merupakan hukum Allah,  di mana perlaksanaannya itu dituntut bagi sesebuah negara Islam yang mampu untuk melaksanakan undang-undang Islam tersebut.

“Tetapi dalam soal ini, kita perlu ingat, dalam konteks perlaksanaan hukum, ia tidak sama seperti mana perintah lain sebagai contoh perlaksanaan perintah solat. Perintah solat perlu dilaksanakan sekiranya seseorang itu cukup syarat-syaratnya untuk menunaikan solat. Tidak ada pengecualian biarpun seseorang itu sedang sakit mahu pun bermusafir.

“Bahkan jika kita lihat, perintah berkenaan solat dan juga perintah menunaikan haji juga berbeza, sedangkan kedua-duanya adalah perintah wajib. Haji hukumnya wajib bagi umat Islam, tetapi untuk menunaikan haji, seseorang itu mestilah mempunyai kemampuan untuk menunaikannya.

“Dalam menunaikan haji, ia bergantung kepada kemampuan seseorang itu  untuk melaksanakannya, baik dari segi kewangan dan sebagainya. Contohnya, sepertimana hari ini, kita mempunyai kuota haji. Dengan sebab adanya kuota haji ini, maka dengan sendirinya seseorang itu tidak mampu untuk menunaikan haji biarpun dia cukup syaratnya dari segi kewangan. Ini dengan sendirinya hukum menunaikan haji itu terlepas dari dirinya, ” jelasnya kepada UMNO Online di sini hari ini.

Dalam soal perlaksanaan hudud di negara ini katanya lagi, apa yang perlu dilihat bukanlah dari sudut mekanisme hukum atau cara menghukum itu, tetapi ia adalah lebih kepada matlamat yang hendak dicapai melalui perlaksanaan hukum tersebut.

“Akhirnya, dalam apa jua bentuk hukuman, apa yang penting adalah keadilan itu yang perlu ditegakkan. Jadi, dalam hal ini kita perlu betul-betul menilai dan mengkaji, apakah bila kita mahu melaksanakan hukum hudud, kita sudah menyiapkan segala infrastruktur dan prasarana bagi memastikan objektif untuk berlaku adil itu terlaksana. Itulah yang kita harus bincangkan secara tuntas.

“Bagaimanapun dengan perkembangan yang berlaku hari ini, bagi saya ia merupakan satu permulaan yang baik antara UMNO dan Pas, di mana kedua-dua buah parti ini bersedia untuk berbincang dalam perlaksanaan hukum hudud di negara ini,” ujarnya.

Cuma kata beliau, apa yang diharapkan agar isu perlaksanaan hukum hudud ini tidak dijadikan isu politik yang dipolemikkan, dan sekiranya Pas sudah mempunyai perancangan untuk melaksanakan hukum tersebut, maka ia perlu diperbentangkan untuk diperbincangkan.

“Itu yang saya kira, merupakan perkara mustahak untuk dilakukan hari ini. Seperti contohnya negara Brunei yang mengambil masa lebih 30 tahun untuk membuat kajian dan penelitian dan setelah itu barulah ia diisytiharkan  serta dikuatkuasakan. Itupun Brunei tidak melaksanakan secara keseluruhannya dan ia dimulakan secara berperingkat-peringkat.

“Sebenarnya penguatkuasaan hukum yang dilaksanakan oleh Brunei adalah hukum jenayah syariah, di mana di dalamnya terdapat hudud, qisas dan takzir. Tetapi hari ini kita seolah-olah memfokuskan kepada hudud saja, dan bukannya jenayah syariah secara keseluruhannya,” tegasnya.

Justeru itu kata beliau, perlaksanaan undang-undang Islam ini perlu dilakukan dengan secara berhati-hati  serta teliti dan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa bagi  mengelakkan sebarang kecuaian manusia  dalam perlaksanaanya yang boleh mengundang ketidakadilan ketika menjatuhkan hukum. -MediaUMNO
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger