UMNO menunggu keputusan MCA sama ada mahu meletakkan calonnya atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor 25 Mei ini.
Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Omar Faudzar berkata, parti itu bersedia bila-bila masa untuk menggerakkan jentera membantu MCA dan Barisan Nasional (BN) pada kempen yang bermula 12 Mei ini.
"Kita masih menunggu keputusan daripada MCA, sebab Bukit Gelugor adalah kawasan mereka. Kita hanya turun membantu," katanya.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh dalam kemalangan yang meragut nyawanya di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Perak baru-baru ini.
Menurut Omar, UMNO tidak ada masalah untuk membantu calon BN kerana kerjasama antara komponen parti itu sentiasa erat dan banyak isu terkini hendak dibangkitkan sepanjang kempen 12 hari PRK itu.
MCA pusat hari ini mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur untuk membincangkan calon yang layak bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gelugor melawan DAP.
Bagaimanapun, sehingga jam 4.30 petang ini mesyuarat masih berlangsung dengan beberapa pemimpin kanan parti itu hadir membincangkan hal berkenaan.
Kata Omar, walaupun peluang untuk menang di Parlimen itu agak tipis kerana Bukit Gelugor adalah kubu kuat DAP, tetapi tidak bermakna BN tidak meletakkan calonnya untuk bertanding.
"Tumpuan kita ialah memberi penerangan dan penjelasan mengenai dasar parti serta negara. Tambahan pula setelah hampir enam tahun DAP memerintah Pulau Pinang, rakyat mula sedar mereka tertipu dengan segala janji parti itu.
"Bagi UMNO Bahagian Bukit Gelugor, PRK kali ini akan memberi kesedaran kepada rakyat Pulau Pinang bahawa siapa sebenarnya yang lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka," katanya. - MalaysiaGazette
Read more: http://malaysiagazette.com/nasional/umno-bukit-gelugor-tunggu-keputusan-mca#ixzz30ELmPofp
Catat Ulasan