Home » » Pesanan terakhir sebelum lemas

Pesanan terakhir sebelum lemas


“Jaga barang-barang aku, kalau aku tak de (tiada),” itu pesanan terakhir Mohd Rashid Roslan, 16, kepada kakaknya sebelum dia ditemui lemas di jeti Arang Batu, dekat sini, selepas terjatuh dari tongkah ketika memancing bersama adik dan rakannya berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Abdul Aziz Shah, Kampung Tok Muda, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Rashid bersama adik bongsu Abdul Samad, 11, dan juga rakan yang dikenali sebagai Ujang, 14, pergi ke kawasan pelepasan air stesen janakuasa berkenaan untuk memancing sebelum ditolak arus deras sehingga terjatuh dari tongkah dan hilang dibawa arus.
Bapa mangsa, Roslan Talib, 51, ketika ditemui Harian Metro semalam berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat kerja tidak berapa jauh dari stesen janakuasa dan dimaklumkan mengenai kejadian oleh pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan itu.
“Sebaik tiba di lokasi, saya melihat anak bongsu sedang diselamatkan nelayan menggunakan sampan mereka, manakala Ujang sudah berada di tebing dalam keadaan tercungap-cungap.
“Ujang kemudian memberitahu Rashid yang tidak pandai berenang hilang akibat dibawa arus deras air pasang dari stesen janakuasa,” katanya.
Roslan berkata, arwah adalah anak yang sangat baik dan rapat dengan ibu serta adik-beradik lain.
“Arwah tidak gemar keluar rumah, dia hanya akan keluar untuk menemani Samad yang suka bermain di luar rumah serta bersiar-siar sekitar kampung kerana adiknya itu adalah insan kelainan upaya.
“Kami sekeluarga menganggap ini sebagai takdir dan menerimanya dengan reda,” katanya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Muda, dekat sini, selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Suasana di rumah mayat HTAR bertambah hiba apabila ibu mangsa Sahuri Hashim, 43, yang tidak menahan kesedihan sebaik saja melihat jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Norzaid Ismail ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa kira-kira jam 10 pagi berhampiran dengan jeti hidro stesen janakuasa Kapar.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang selepas terjatuh dari tongkah yang dinaiki bersama dua rakan, lapor Hmetro.
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger