Home » » Bersengkang mata semalaman

Bersengkang mata semalaman


BESUT - Musim kemarau yang panjang memberi pulangan lumayan kepada sekumpulan penduduk dari beberapa kampung apabila usaha mereka menimba ikan darat (air tawar) di lubuk tali air Gong Penaga dekat Jertih, di sini, membuahkan hasil.

Ketuanya, Yusof Salleh, 60, berkata, lebih 10 penduduk Kampung Dengir, Tok Has, Pusu Tinggi dan Gong Penaga berpakat menimba beberapa lombong sehingga berjaya menangkap lebih 1 tan ikan darat.

Menurutnya, usaha mereka bersengkang mata semalaman untuk mengeringkan air di lubuk berkenaan membuahkan hasil apabila berjaya terdapat banyak ikan pelbagai spesies di situ.

“Keadaan parit yang cetek disebabkan kemarau, memudahkan kerja kami. Namun, kami tetap mengambil masa dua hari untuk mengeringkan dua lubuk di situ dengan menggunakan tiga pam penyedut air,” katanya.

Menurut Yusof, kerja menimba air dan menangkap ikan di situ bagaikan pesta apabila penduduk beberapa kampung bekerjasama menangkap ikan, manakala penduduk kampung terdekat pula keluar beramai-ramai untuk menyaksikan pesta berkenaan.

Katanya, spesies ikan paling banyak adalah sepat jawa diikuti selat, haruan, keli kayu, puyu, keli lembut, lampan, baung dan sebagainya.

“Pesta menimba ikan ini diadakan hanya pada musim kemarau yang panjang apabila air parit berkurangan. Kali terakhir kami menimba ikan di sini adalah kira-kira lima tahun lalu, juga ketika musim kemarau,” katanya.

Kata Yusof, apabila air kering, kumpulannya akan menangkap ikan dengan tangan dan serkap terutama ikan yang berada di dalam lumpur.

Menurutnya, usaha menangkap ikan juga memerlukan kemahiran terutama membabitkan ikan keli yang mempunyai sengat dan ikan puyu yang berduri, selain perlu meraba di dalam air dan lumpur menggunakan tangan.

"Kebanyakan ikan ini akan dijual dan hasil pula dibahagikan, selain dibawa pulang semua penduduk yang turut sama menimba.

“Pasaran tidak susah kerana pembeli dan pemborong terus datang ke sini untuk mendapatkan ikan segar serta masih hidup, kerana ikan diperoleh diisi di dalam tong berisi air,” katanya
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger