Home » » Diberkas ketika leka mencuri

Diberkas ketika leka mencuri


BESUT - Hasrat dua lelaki untuk mencuri buah daripada sebatang pokok kelapa di kawasan sawah Kampung Kayu Kelat dekat Jertih, tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka diberkas penduduk kampung, kelmarin.

Menurut seorang penduduk kampung enggan dikenali, kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu disedari seorang pemandu traktor yang sedang melakukan kerja membajak di kawasan berhampiran kawasan berkenaan.

Katanya, pemandu itu mendapati terdapat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengambil kelapa dan mereka bukan pemilik pokok kelapa berkenaan.

“Pemandu traktor itu terus menghubungi pemilik pokok berkenaan yang kemudiannya bergegas ke tempat kejadian bersama penduduk kampung.

“Setibanya di situ, mereka mendapati seorang suspek berada di bawah, manakala seorang lagi masih berada di atas pokok kelapa setinggi kira-kira lima meter, bersama sebuah kereta Proton Saga berisi buah kelapa di bahagian but,” katanya.

Sanggup terjun dari pokok

Menurutnya, penduduk berjaya memberkas lelaki yang berada di bawah pokok berkenaan, namun ikatan di tangannya terputus menyebabkan suspek dapat melarikan diri melalui sawah ke arah Kampung Gong Duek.

Katanya, seorang lagi suspek terjun daripada pokok kelapa dengan meninggalkan kereta dan melarikan diri sambil dikejar penduduk kampung.

“Suspek diberkas kira-kira 800 meter dari tempat kejadian selepas bergelut dengan orang ramai yang cuba memberkasnya, menyebabkan suspek mengalami kecederaan sebelum diserahkan kepada polis.

“Walaupun rakannya melarikan diri, tetapi orang ramai mengenalinya yang tinggal di Kampung Gong Duek, beberapa kilometer dari kampung ini (Kampung Kayu Kelat),” katanya.

Suspek positif dadah

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan, suspek berusia 43 tahun dan beralamat di Kampung Pak Wong, Jertih itu diserahkan penduduk kampung setelah dipercayai mencuri kelapa di kawasan sawah padi di Kampung Kayu Kelat.

Kata beliau, suspek ditahan orang ramai di kawasan Masjid Gong Tanah Merah dekat kampung berkenaan, kira-kira jam 3 petang sebelum diserahkan kepada polis.

“Saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah morfin. Polis sudah menyita Proton Saga yang dipercayai digunakan untuk mencuri kelapa berkenaan selain sejumlah kelapa di dalam bonet.

"Suspek yang mengalami kecederaan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Besut dan dirawat sebagai pesakit luar. Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

“Polis juga berterima kasih di atas kerjasama penduduk kampung dalam usaha menangkap suspek," katanya.
--sinar
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger