Home » » Isu hudud masalah Pas, DAP

Isu hudud masalah Pas, DAP


TELUK INTAN - Isu hudud sebenarnya menjadi masalah antara Pas dan DAP yang mempunyai pandangan dan pendirian berbeza, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kegagalan pakatan itu untuk menjelaskan isu pelaksanaan hukum hudud sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan membuktikan Pas dan DAP tidak tahu pendirian yang perlu diambil untuk menangani isu berkenaan.

"Yang menjadi masalah adalah dalam kalangan mereka kerana ada pertembungan pandangan dan perbezaan yang agak ketara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Dewan Kampung Orang Asli Erong di sini hari ini.

Beliau ditanya media berhubung tindakan pakatan pembangkang yang dilihat seolah-olah melarang calon dan pemimpin parti pakatan itu membincangkan dan berhujah mengenai hudud kepada pengundi.

Ditanya adakah sokongan orang Melayu kepada Barisan Nasional (BN) tergugat ekoran DAP meletakkan calon Melayu Dyana Sofya Mohd Daud pada pilihan raya kecil itu, timbalan pengerusi BN berkata parti komponen itu tidak tergugat dengan tindakan itu kerana bersedia menghadapi apa sahaja cabaran.

"Kita (BN) sentiasa (bersedia) berdepan dengan sesiapa dalam pilihan raya. Dalam pilihan raya, pengundi membuat pilihan teliti tentang siapa parti yang mereka hendak pilih dan calon yang sesuai...kita tidak tergugat kerana dalam PRK kita tidak memandang mudah cabaran yang kita hadapi," katanya.

Diminta mengulas perbuatan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer daripada DAP mengulangi kenyataan mengutuk Umno selepas insiden dalam persidangan Dun Pulau Pinang, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno kesal dengan sikap tidak sopan wakil rakyat DAP itu.

"Walaupun dia boleh berkata apa sahaja tetapi kita ada adab tertib, disiplin dan pastinya tindakan itu sesuatu yang memalukan partinya dan beliau sendiri.

"Tidak wajar dia mengungkapnya berkali-kali walaupun dia benci dengan Umno dan tidak suka parti kita," katanya.

Beliau berkata sejarah telah membuktikan Umno mempunyai lebih banyak jasa berbanding parti pembangkang.

"Kalau ada perkara yang tidak puas hati sepatutnya ada cara yang beradab dan sopan, tapi parti ini (DAP) melambangkan parti yang tidak sopan dan tidak menghormati parti lain...ini sikap buruk parti pembangkang," katanya.

Diminta mengulas tindakan sekumpulan Pemuda Umno yang bertindak menyerbu masuk Dun Pulau Pinang berikutan tidak berpuas hati dengan kenyataan Rayer, Muhyiddin berkata:

"Mereka harus faham itu reaksi yang agak semula jadi apabila tercabar dan tidak akan berdiam diri.

Sikap Pemuda (Umno) yang sentiasa bersemangat mempertahan maruah parti," katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa ada peraturan dan undang-udang yang perlu dipatuhi dan Umno merupakan sebuah parti yang mendukung Perlembagaan negara. - Bernama
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger