Home » , » Cubaan pecah rumah gagal

Cubaan pecah rumah gagal


JERTIH - Hasrat dua lelaki untuk memecah masuk sebuah rumah di Kampung Gong Tanah Merah dekat Jertih selepas mencuri sebuah motosikal di kampung lain pada hari sama, tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka berjaya diberkas.

Difahamkan, suspek berusia 21 tahun bersama seorang rakannya mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha LC di sebuah rumah di Jalan Amir, Kampung Alor Lintang pada jam 5.50 pagi kelmarin.

Beberapa jam kemudian kira-kira jam 7 pagi, suspek dikatakan cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Gong Tanah Merah yang terletak kira-kira 8 kilometer dari tempat mereka dipercayai mencuri motosikal itu.

Bagaimanapun, tindakan jahat mereka disedari pemilik rumah menyebabkan suspek bersama rakannya melarikan diri menggunakan motosikal curi tersebut berikutan pemilik rumah berkenaan mengejar mereka.

Namun, usaha suspek untuk melarikan diri tidak berhasil apabila motosikal mereka hilang kawalan dan terbabas di Kampung Tempinis dekat Renek, Jabi, kira-kira 9 kilometer daripada rumah mangsa.

Suspek dari Kampung Chegar Batang, Hulu Besut yang cedera kerana dibelasah ketika dia cuba melarikan diri, berjaya diberkas dengan kerjasama orang kampung, namun rakannya yang menunggang motosikal berjaya meloloskan diri.

Suspek diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan menerima beberapa jahitan.

Siasatan lanjut mendapati motosikal itu dipercayai hilang di Kampung Alor Lintah ketika subuh pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurutnya, suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Dalam perkembangan berasingan, polis menemui semula sebuah motosikal dilaporkan hilang di Kampung Mak Sara pada 18 Januari lalu selepas mengejar seorang lelaki di Kampung Gerai dekat Jertih, malam kelmarin.

Kamaruddin berkata, sepasukan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Jertih membuat serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Gerai dan mendapati seorang lelaki berada di atas motosikal.

“Sebaik polis memperkenalkan diri, suspek terus melarikan diri ke arah semak dengan menunggang motosikal Honda C70 berkenaan sebelum bertindak meninggalkan motosikal.

"Suspek berjaya meloloskan diri, tetapi motosikal itu berjaya dirampas. Usaha mengesan suspek yang dipercayai penagih itu sedang dijalankan," katanya.
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger